Lebih 60 Rumah Rosak Dilanda Ribut Di Kubang Pasu

Diterbitkan: Isnin, 26 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Lebih 60 rumah membabitkan lima kampung dan satu taman perumahan di daerah Kubang Pasu rosak selepas dilanda ribut kira-kira pukul 5.30 petang Ahad.

Rata-rata rumah di kawasan terlibat iaitu Kampung Kemunting Lama, Kemunting Baru, Teluk Berangin, Salit, Pekan Tunjang dan Taman Seri Kemuning 1 mengalami kerosakan teruk akibat ditimpa pokok atau bumbung tercabut sepenuhnya.

Bernama difahamkan lima keluarga dari Taman Seri Kemuning 1 juga terpaksa berpindah ke pusat aktiviti kawasan perumahan itu selepas rumah mereka tidak boleh didiami akibat bumbung tercabut.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom berkata pihaknya masih membuat bancian jumlah kerugian serta kos yang diperlukan untuk membantu mangsa terbabit.

"Pejabat saya akan menghubungi pembekal dan kontraktor bagi membaiki rumah-rumah yang rosak teruk," katanya kepada pemberita, selepas melawat keluarga yang terjejas hari ini.

"Saya juga akan meminta bantuan daripada Majlis Keselamatan Negara untuk selesaikan segera masalah ini. Dua hari lepas pun kejadian ribut turut berlaku di Bukit Kayu Hitam yang melibatkan kira-kira 30 rumah," katanya.

Johari berkata beliau juga telah memaklumkan kejadian itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu bantuan kepada mangsa disegerakan. Sementara itu, seorang mangsa dari Kampung Kemunting Lama, Rosmawati Abdullah, 38, berkata kejadian berlaku ketika hujan yang sangat lebat.

Katanya beliau bersyukur semua anggota keluarganya selamat sekalipun rumahnya hampir roboh ditimpa pokok mangga.

Bapanya Abdullah Hashim, 72, pula berkata kejadian semalam merupakan yang pertama kali dialaminya sejak mendiami rumah itu 40 tahun lalu. "Saya tidak sangka pokok pelam (mangga) yang saya tanam 30 tahun lepas akan menghempap rumah saya," katanya.

Mangsa di Taman Kemuning 1, Mariah Abdullah, 45, berkata beliau sedang menjerang air di dapur sebelum kejadian ribut.

"Masa tu hujan renyai-renyai. Selepas meletak air di atas dapur, saya ke ruang tamu untuk menutup pintu. Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan diikuti dengan hujan lebat dan saya lihat bumbung dapur rumah saya sudah terangkat.

"Saya cepat-cepat pergi ke bilik tengah bagi menyelamatkan ibu saya yang uzur," katanya yang bersyukur kerana sempat menyelamatkan ibunya yang sakit tua sebelum dibawa keluar ke rumah jiran. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan