Empat IPTS Dikompaun Sehingga RM60,000 Ambil Pelajar Tidak Penuhi Syarat Minimum

Diterbitkan: Isnin, 26 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Empat institusi pengajian tinggi swasta(IPTS) dikompaun antara RM10,000 hingga RM60,000 kerana mengambil pelajar tidak memenuhi syarat minimum bagi mengikuti kursus kejururawatan peringkat diploma.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung berkata kompaun tertinggi dikenakan kepada Institut Teknologi Lanjutan Sarawak iaitu RM60,000, diikuti Lincoln University College (RM40,000), Kolej Seri Manjung (RM30,000) dan International College of Health Sciences (RM10,000).

"Berikutan banyak aduan dan juga maklum balas daripada pelbagai pihak, tindakan perundangan itu adalah antara langkah terbaik yang diambil untuk mengawal kualiti jururawat di negara ini," katanya di Dewan Rakyat, Isnin.

Beliau yang menjawab soalan Dr Michael Jeyakumar (PSM-Sungai Siput) juga berkata kementerian itu turut menguatkuasakan moratorium dalam penawaran kursus kejururawatan peringkat diploma di IPTS bagi membendung masalah tersebut.

Beliau berkata Lembaga Jururawat Malaysia telah menetapkan pelajar yang ingin mengikuti kursus kejururawatan perlu memiliki lima kredit dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mulai pengambilan tahun lalu, berbanding tiga kredit sebelum ini.

"Berikutan langkah ini, bilangan pengambilan pelajar dalam kursus kejururawatan peringkat diploma menurun kepada 7,841 tahun lalu berbanding 10,025 pada 2010," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan