Perodua Sedia Kerjasama Dengan Proton

Diterbitkan: Ahad, 25 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) masih membuka pintu rundingan untuk menjalin usaha sama strategik dengan DRB-Hicom Bhd, pemilik baharu syarikat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, kata Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Beliau bagaimanapun berkata, pembuat kereta terbesar negara itu masih tidak berminat untuk bergabung.

Aminar berkata, berikutan Proton dan Perodua menolak cadangan untuk bergabung, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencadangkan pelbagai bidang usaha sama strategik.

"Memandangkan ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, kami bersetuju. Namun ia dipersetujui oleh pengurusan Proton yang lama. Selepas perkembangan terbaru ini, pemilik baharu Proton, DRB-Hicom, belum menghubungi kami.

"Jika ada peluang untuk kami menggerakkan cadangan itu, kami terbuka untuk berunding. Ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta industri automotif tempatan. Namun, kami masih tidak berminat untuk bergabung," katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Aminar berkata, terpulang kepada pemilik baru untuk meneliti dan memberikan pandangan sama ada kedua-dua syarikat perlu menjalin usaha sama strategik.

Perodua yang menjual 180,000 kereta penumpang tahun lepas dan mempertahankan kedudukan nombor satu dari segi jualan dalam negara, menyasarkan untuk meningkatkan jualan kepada 188,000 unit tahun ini.

Bagi bulan Januari dan Februari tahun ini, syarikat pembuat kereta nasional kedua itu masing-masing menjual 13,684 dan 15,097 unit kereta.

"Jumlah kereta yang diservis pada Januari sebanyak 140,000 unit manakala 280,000 unit lagi diservis pada Februari, yang menunjukkan pelanggan Perodua masih bergantung kepada kami untuk perkhidmatan servis.

"Jumlah jualan alat ganti pula bernilai RM16.9 juta pada Januari dan RM17.3 juta bulan lepas," katanya.

Untuk masa hadapan, Aminar berkata, syarikat itu mahu menarik kembali pelanggan selepas tempoh jaminan tamat bagi meningkatkan perniagaan alat ganti dan perkhidmatan servis.

"Hanya separuh sahaja daripada pelanggan kami mendapatkan servis di Perodua selepas tempoh jaminan tamat.

"Kami sedang mengkaji untuk memulakan kempen baharu yang dikenali sebagai Flexi Bijak dan melancarkan jenama kedua alat ganti kami.

"Ia hampir sama dengan jenama alat ganti lama namun beberapa spesifikasi seperti kitaran hayat akan ditukar. Ini akan menjadikan harganya lebih murah dan mampu dibeli," katanya.

Aminar berkata, Perodua juga akan memperkenal semula perniagaan kereta terpakai yang ditamatkan dua tahun lepas, pada separuh kedua 2012.

Beliau berkata, syarikat itu kini dalam proses mengambil pekerja yang bersesuaian untuk memulakan operasi terbabit.

"Pasaran ini semakin meningkat. Begitu juga dengan permintaan untuk kereta terpakai Perodua.

"Ramai pemilik kereta lama Perodua mahu menukar kereta Perodua versi baharu. Menerusi pusat kereta terpakai ini, pengguna boleh mendapatkan nilai kereta terpakai terbaik selain berperanan sebagai rangkaian untuk membeli kereta terpakai atau kereta baharu keluaran Perodua.

"Perodua merancang membuka pusat operasi di bandar raya besar dan mengekalkan nilai jualan semula kereta kami," katanya. Beliau berkata, pusat kereta terpakai itu akan menerima semua jenama kereta, namun hanya menjual kereta terpakai Perodua. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan