Kerajaan Tidak Akan Tabur Janji Yang Tidak Boleh Ditunaikan: Najib

Diterbitkan: Sabtu, 24 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Kerajaan Barisan Nasional (BN), sebagai kerajaan yang terbaik untuk rakyat, tidak akan menabur pelbagai janji yang tidak mampu ditunaikan seperti yang dilakukan pembangkang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata tanpa perlu menabur janji-janji, kerajaan BN tetap akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.

"Pembangkang ini senjata pada tangannya adalah jual janji, tapi apabila kita timbang punya timbang, janji itu mustahil untuk dilaksanakan," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan rumah mampu milik berkualiti di Taman Intan Duyung di sini hari ini sempena lawatan kerja sehari beliau ke Negeri Sembilan.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Perdana Menteri juga berkata pelbagai janji pembangkang sekiranya dilaksanakan juga akan menyebabkan negara muflis dan menjadi lebih teruk daripada apa yang berlaku di negara Greece sekaligus menyebabkan rakyat hilang keyakinan.

"Cuba bayangkan kalau pembangkang memerintah, tol dia mahu hapuskan. Di sini ada Menteri Kerja Raya, bila saya jumpa dia minta kurangkan tol, dia cakap dia kena buat perkiraan yang tepat dan kalau mampu baru boleh dikurangkan.

"Tapi pembangkang kalau menang Putrajaya cakap semua tol dia mahu hapuskan. Boleh atau tidak boleh? -- tak boleh, tak masuk akal.

"Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga dia nak hapuskan serta merta. Saya tanya Menteri Pengajian Tinggi, dia cakap kalau hapuskan PTPTN, RM40 bilion akan hilang. Lepas itu kalau nak bagi pinjaman pada masa hadapan sudah dah tak boleh," katanya.

Perdana Menteri berkata pembangkang hanya pandai menjanjikan daripada segi perbelanjaan seperti mengurangkan tol dan menghapuskan pinjaman PTPTN sebaliknya daripada segi pendapatan langsung tidak diambil kira.

"Tak perlulah ada lulusan berjela-jela, kalau kita kerja kedai runcit pun tahu mesti ada pertimbangan duit masuk dan keluar, kalau tidak ada tutuplah kedai tidak lama lagi. Inilah yang kita kata kalau orang jual janji yang tak boleh ditunaikan", katanya.

Mengenai keinginan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadi Perdana Menteri, Najib berkata bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak layak kerana ramai pengikutnya sudah mula meninggalkannya selepas hilang keyakinan.

Beliau berkata pengasas Parti Keadilan Rakyat sendiri, Dr Chandra Muzaffar yang sudah meninggalkan Anwar pernah menyatakan bahawa jika Anwar menjadi Perdana Menteri, satu malapetaka besar akan berlaku kepada negara.

"Kalau kita pasang billboard dan letak gambar orang yang sudah meninggalkan dia (Anwar), saya rasa kena guna billboard yang besar kerana ramai sudah meninggalkan dia dari Chandra Muzaffar, bekas setiausaha sulit dia Ezam Mohd Nor, setiausaha akhbar Anuar Shaari dan peguam dia Zulkifli Nordin," katanya.

Terdahulu, Mohamad berkata sebanyak 70 buah rumah mampu milik yang setiap unit berkeluasan 1,100 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik akan ditawarkan kepada orang ramai menerusi sistem undian.

Katanya, rumah yang dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad itu dijual pada harga RM42,000 sebuah iaitu lebih murah berbanding rumah yang mempunyai keluasan sama yang dibangunkan pihak swasta di kawasan itu.

"Di sini rumah yang dibangunkan oleh pemaju dijual pada harga RM52,000 hingga ke RM60,000 seunit. Tapi rumah ini kita jual pada harga RM42,000, jadi ada subsidi sebanyak RM10,000," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan