Pemimpin BN Yakin Najib Mampu Tawan Kembali Negeri Pembangkang

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemimpin Barisan Nasional di peringkat negeri berkongsi keyakinan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN berupaya kembali berkuasa di negeri-negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang.

Mereka berkata keyakinan itu berasaskan senario semasa politik di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor yang jelas memperlihatkan kepincangan pentadbiran pakatan pembangkang.

"Kita telah melalui empat tahun pemerintahan pembangkang yang sangat lemah di negeri-negeri ini dan tiada apa satupun perubahan termasuk pembangunan yang mereka buat," kata Pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew kepada Bernama.

Beliau berkata bahawa dalam empat tahun itu jugalah, mereka sibuk berebut kuasa dan tidak mempedulikan soal kebajikan rakyat, apatah lagi mahu menumpukan soal pembangunan.

"Di Kedah umpamanya, komponen BN sama ada Umno, MCA, Gerakan, MIC ke, selepas jatuh pada 2008, kita tak berhenti memberi khidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata bahawa setelah rakyat di Kedah membuat perbandingan antara prestasi kerajaan pakatan pembangkang dan BN, angin perubahan sudah dapat dirasai apabila program turun padang pemimpin BN mendapat sambutan hebat. "Rakyat sekarang sudah sedar bahawa hanya BN yang boleh membela nasib mereka. Mereka juga mahu kuasa pemerintahan negeri dikembalikan kepada BN. Ini bukan cakap kosong, ini maklumat yang kita dapat hasil turun padang.

"BN Kedah memang telah bersiap sedia untuk pilihan raya umum akan datang. Sebagai Pengerusi MCA Kedah, saya amat yakin bahawa BN mampu merampas kembali Kedah. Kita telah membuat persiapan sebaik mungkin selepas kejatuhan pada 2008," katanya.

Bagaimanapun, Chong berkata BN Kedah akan berusaha dengan lebih gigih untuk membolehkan BN mencapai majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan juga yakin BN mampu menguasai kembali kerusi-kerusi Palimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

"Apa yang dikata oleh Perdana Menteri itu memang betul kerana kita boleh saksikan setiap kali program turun padang oleh Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, pasti ramai rakyat hadir. Ini adalah petanda yang bagus untuk BN.

"Selama ini, meskipun kalah, BN tetap berusaha dan bekerja keras bagi membela nasib rakyat dan membina semula keyakinan rakyat terhadap BN," katanya.

Chandrakumanan, yang juga Ketua Penerangan PPP, berkata selain hasil turun padang oleh pucuk pimpinan BN, sokongan rakyat juga semakin meningkat kerana pelaksanaan pelan transfomasi negara yang meyakinkan semua lapisan rakyat, selain faktor tolakan rakyat terhadap pembangkang yang tidak berbuat apa-apa.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai 11 kerusi Parlimen dan BN hanya menang satu iaitu di Setiawangsa pada pilihan raya umum lepas.

Perdana Menteri pada 18 Mac dipetik sebagai berkata beliau yakin dengan keupayaan BN untuk kembali memerintah di negeri-negeri yang ketika ini dikuasai pembangkang, pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Najib berkata ini berdasarkan kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan yang semakin bertambah baik dan penerimaan dasar kerajaan ketika ini yang memberi tumpuan kepada usaha mentransformasi negara.

Bendahari Umno Bahagian Kelana Jaya, Mohd Zaidi Ilamdin, berkata beliau yakin Selangor akan kembali dikuasai BN memandangkan sokongan yang diterima daripada rakyat semakin meningkat. "Saya tak boleh kata bahawa kita boleh menang besar di Selangor, tetapi saya yakin BN boleh menguasai negeri ini sebab BN kini berada di landasan yang betul dalam perjuangan dan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan BN semakin diterima rakyat.

"Rakyat boleh menilai bagaimana prestasi BN dan pembangkang. Kalau melihat kepada krisis dalaman parti, pembangkang bermasalah teruk. Adakah ini yang rakyat mahu iaitu kerajaan yang mempunyai masalah dalaman yang kronik, yang pasti akan terus mengecewakan mereka," katanya.

Ketua Pemuda MIC T.Mohan pula berkata faktor kecemerlangan Perdana Menteri mentadbir negara adalah satu daripada faktor yang akan turut menyumbang kepada kemenangan BN selain daripada dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berakta semua kaum merasai perubahan yang dibawa oleh Najib untuk kebaikan negara.

"Malah perhatian beliau kepada kaum India tidak pernah dirasai sehebat ini sebelum ini," katanya. Mohan berkata tiada alasan untuk rakyat menolak BN kerana parti itu sentiasa menunaikan janjinya selain terbukti ikhlas menjaga kebajikan rakyat.

"BN kalau cakap bukanlah retorik atau untuk menggula-gulakan rakyat. Apa yang kita janji, pasti kita buat. Ini berbeza dengan janji kosong pembangkang," katanya.

Beliau berkata rakyat juga sudah sedar bahawa perjuangan pembangkang hanyalah untuk mengambil alih Putrajaya dan bukan sangat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan