Pembangunan Lestari Bagi Tangani Kemiskinan, Agenda Utama PBB - Ki Moon

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hidup melarat dalam kemiskinan sering mewujudkan kawasan pembiakan konflik dan bagi menangani masalah itu secara bersemuka, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menjadikan pembangunan lestari sebagai agenda paling utamanya, kata setiausaha agungnya, Ban Ki-moon.

"Apabila wujud penyeksaan mutlak kerana kemiskinan berpanjangan atau penyakit, ia membiakkan rasa tidak percaya dan berkembang menjadi konflik.

"Konflik ini akan membuahkan perang serantau dan global. Situasi seperti ini yang kita mahu cuba mengelak," katanya dalam temubual dengan Bernama pada hari terakhir lawatannya selama dua hari ke Malaysia pada Khamis.

Sambil memperakui wujud banyak cabaran serantau dan global yang dihadapi oleh PBB ketika ini, katanya, "cara terpantas untuk kami menangani masalah itu adalah dengan merealisasikan pembangunan lestari."

Ban berkata sebaik pembangunan lestari menjadi kenyataan, masyarakat mampu hiudp dalam dunia yang lebih harmoni dan sejahtera.

Dalam banyak kawasan, katanya, PBB membantu mengeluarkan berbilion-bilion orang dari cengkaman kemiskinan manakala mereka yang sakit boleh diubati, dijaga dan dirawat. Ban berkata PBB akan menganjurkan sebuah Persidangan Mengenai Pembangunan Lestari (Rio+20) di Rio de Janeiro, Brazil dari 20 hingga 22 Jun ini, yang menjadi peluang untuk badan dunia itu membentuk masa depan dan dunia yang lebih baik untuk semua.

Dalam perbincangan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya, perdana menteri berjanji menghantar sebuah delegasi mantap ke persidangan itu, dengan tujuan cuba menerokai peluang mengurangkan kemiskinan, meningkatkan ekuiti sosial dan memastikan perlindungan alam sekitar.

"Saya mengucapkan banyak terima kasih atas komitmen beliau," kata Ban.

Lebih 110 ketua negara dan kerajaan serta peneraju sektor swasta dan badan bukan kerajaan telah bersetuju menyertai Rio+20 yang diadakan 20 tahun selepas peristiwa bersejarah Sidang Kemuncak Bumi 1992 di Rio de Janeiro.

Mengulas cabaran global lain yang dihadapi oleh PBB, Ban berkata ia termasuk perubahan iklim, peningkatkan harga barangan makanan serta kekurangan bekalan air dan tenaga.

Setiausaha agung itu juga menegaskan terdapat keperluan kuat untuk terus menggalakkan pemerkasaan gender supaya wanita dapat diberi peluang lebih baik dalam bidang politik, sosial dan ekonomi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan