Tiada Undang-Undang Benar Hubungan Sejenis

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata tiada peruntukan undang-undang atau agama di negara ini yang membenarkan hubungan atau perkahwinan sejenis serta amalan seks bebas.

Menurutnya berdasarkan undang-undang syariah yang dikenakan terhadap umat Islam, beberapa perundangan digubal termasuk Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang menghalang hubungan sejenis seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

"Akta Jenayah Syariah itu mengandungi peruntukan Seksyen 25 (kesalahan liwat), Seksyen 26 (kesalahan musahaqah atau perhubungan sejenis sesama perempuan), Seksyen 28 (lelaki berlagak perempuan) dan Seksyen 29 (perbuatan tidak sopan di tempat awam).

"Selain itu turut diperuntukkan ialah Seksyen 21 (kesalahan pelacuran) dan Seksyen 22 (kesalahan muncikari iaitu 'ibu ayam' atau 'bapa ayam')," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Mohd Nizar bertanya mengenai langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menangani masalah LGBT dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Selain itu beliau berkata kerajaan memandang serius penularan gejala LGBT dalam kalangan masyarakat dan mengambil langkah berterusan melalui dua pendekatan iaitu pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang.

"Ini kerana gaya hidup LGBT mendedahkan mereka kepada masalah sosial seperti pelacuran, dadah, risiko HIV/AIDS, kecelaruan psikologi dan mental," katanya.

Dalam usaha mencegah penularan LGBT, Mashitah berkata kementerian giat menyebarkan Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam yang jelas menentang LGBT.

"Selain itu kita juga memberi penjelasan mengenai fatwa mengenai LGBT melalui media, seminar, forum serta menerbitkan risalah tentang LGBT," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan