Radiasi Bukit Merah: Dakwaan SMSL Tidak Tepat

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, dakwaan Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) bahawa lokasi tapak kilang Asian Rare Earth (ARE) di bukit Merah dan tapak pelupusan sisa di Bukit Kledang, Perak tidak selamat serta terdedah kepada radiasi adalah tidak tepat.

Menurut beliau, dakwaan SMSL berkemungkinan tidak tepat kerana tidak mengambil kira bacaan latar belakang kawasan berkenaan.

"Ia tidak sepatutnya membuat perbandingan dengan purata paras bacaan latar belakang Malaysia iaitu 0.05 microsievert/jam.

"Sebaliknya ia perlu membuat perbandingan dengan bacaan latar belakang di lokasi tersebut, iaitu 0.2 - 0.75 microsievert/jam.

"Bacaan ini lebih tinggi berbanding tempat-tempat lain di Malaysia kerana kawasan ini adalah bekas tapak perlombongan bijih timah yang menghasilkan amang yang mengandungi torium dan uranium," katanya pada sesi perbahasan usul tergempar di Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Usul berkenaan dibawa Fong Poh Kuang (DAP-Batu Gajah) yang mendakwa lokasi kilang ARE di Bukit Merah tidak selamat hingga menimbulkan kerisauan kepada keselamatan penduduk di Papan, Lahat, Menglembu, Pusing dan khususnya di Kampung Baru Bukit Merah.

Sebelum ini SMSL mendakwa bacaan 0.19 microsievert/jam di lokasi berhampiran bekas tapak kilang (Bukit Merah) dan 0.2 microsievert/jam di lokasi berhampiran tapak pelupusan sisa (Bukit Kledang).

Namun menurut Ongkili, bacaan ini adalah rendah berbanding bacaan latar belakang di lokasi, iaitu antara 0.2 - 0.75 microsievert/jam.

"Dakwaan SMSL bahawa bacaan yang direkodkan adalah melebihi tahap 1 milisievert/setahun yang selamat bagi orang awam dari segi undang-undang juga tidak benar kerana perkiraan mereka tidak mengambil kira bacaan latar belakang, iaitu 0.2 microsievert/jam.

"Bacaan 0.2 microsievert/jam bersamaan 1.6 milisievert/tahun, tetapi bacaan ini apabila ditolak bacaan latar belakang yang juga 1.6 milisievert/tahun, bacaan akhir adalah sifar," katanya.

Tambah Ongkili, sejak Projek Decommissioning & Disposal ini dimulakan pada tahun 2003 sehingga sekarang, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mendapati tiada sebarang kemalangan atau pencemaran radiasi yang berlaku kepada pekerja, orang awam dan alam sekitar.

Katanya AELB sentiasa melakukan pemantauan sepenuhnya terhadap projek ini bagi memastikan kehendak-kehendak Akta 304 dipatuhi oleh syarikat.

Selain itu Ongkili berkata, AELB turut menempatkan satu Stesen Pemantauan Radiologi dan Alam Sekitar iaitu Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di tapak projek bagi memastikan pengesanan dapat dibuat secara pemantauan masa sebenar terhadap sebarang kebocoran ekoran aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

"Ini akan membantu AELB untuk menyediakan langkah-langkah pencegahan dengan segera jika perlu. Data-data terkini bagi tapak pelupusan milik Syarikat ARE di Bukit Kledang ini boleh didapati dalam Laman Web AELB setiap hari bagi rujukan orang ramai.

"Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, adalah tidak wajar Yang Berhormat Batu Gajah berasa bimbang dan risau berkenaan tahap keselamatan dan kesihatan penduduk. Kerajaan melalui AELB sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dalam apa jua tindakan yang diambil," katanya.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan