Malaysia Anggota PBB Contoh & Penting - Ban Ki-moon

Diterbitkan: Khamis, 22 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menyifatkan Malaysia sebagai anggota PBB contoh dan penting dan tawarannya untuk menjadi anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-16 akan dipertimbangkan oleh negara anggota semasa memutuskan mengenai calonnya.

"Negara anggota yang akan memutuskannya," katanya dan menurutnya Malaysia telah banyak menyumbang kepada PBB sejak lima dekad lepas.

Ban berharap negara anggota yang lain akan menghargai sumbangannya itu dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi juga di bahagian lain dunia.

Malaysia telah menghantar 20,000 anggota tentera dan 1,000 pegawai polis dalam 25 misi pengaman PBB di seluruh dunia sejak 1960.

Ban berkata Malaysia juga telah memenuhi hampir semua sasaran Matlamat Pembangunan Milenium (MDG), yang termasuk membasmi kemiskinan tegar dan meningkatkan kadar celik huruf, yang disasarkan selesai pada 2015 dan turut aktif dalam mempromosikan hak asasi manusia.

"Saya berharap semua amalan baik ini akan dihargai oleh negara-negara anggota," katanya kepada Bernama dalam temubual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada akhir lawatan dua hari beliau ke negara ini.

Ban, yang memakai pin 1Malaysia pada lapel kotnya, tersenyum lebar semasa ditanya mengenainya, dan berkata:"Ah, ini adalah Satu, Satu Malaysia!"

Untuk diterima sebagai anggota bukan tetap Majlis Keselematan, negara calon perlu mendapat sekurang-kurangnya dua pertiga daripada seluruh undi bagi kerusi itu.

Majlis Keselamatan, satu daripada badan utama PBB, dipertanggungjawabkan menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa, mempunyai lima anggota tetap (China, Perancis, Russia, United Kingdom dan Amerika Syarikat) dan 10 anggota bukan tetap bagi penggal dua tahun.

Anggota bukan tetap dipilih oleh kumpulan-kumpulan serantau dan negara-negara yang kini mewakili Asia ialah India dan Pakistan.

Ban berkata Malaysia selama ini telah menjadi pemain serantau yang amat penting dan kini telah memperluaskan peranannya di peringkat global.

Daripada segi visi, beliau berkata Malaysia merupakan sebuah daripada negara pengasas ASEAN dan telah menunjukkan "kepimpinan amat penting" dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Ban turut memuji usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diilhamkannya, yang bertujuan mewujudkan dunia yang lebih baik demi generasi masa depan menerusi kewujudan bersama secara aman dan berkekalan, dan mempelawa beliau bekerjasama rapat dengan Perikatan Tamadun PBB (UNAOC).

UNAOC ialah inisiatif yang bertujuan merangsang tindakan antarabangsa terhadap ekstremisme menerusi dialog dan kerjasama antarabangsa, antara kebudayaan dan antara agama.

Ban berkata GMM dan UNAOC saling melengkapi dan bahawa Malaysia, dengan berlatar-belakangkan pelbagai agama, pelbagai etnik dan pelbagai kebudayaan, mempunyai banyak perkara untuk dikongsi dengan negara-negara lain.

Merujuk kepada lawatannya ke Pusat Latihan Pengaman Malaysia di Port Dickson, katanya beliau kagum dengan penubuhan pusat itu dan berharap ia dapat meningkatkan kapasiti dan standardnya.

Beliau berkata juga amat penting untuk pusat itu melengkapkan anggota pengaman PBB dengan pengetahuan mengenai undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan, meningkatkan peranan mereka sebagai anggota pengaman dan kemanusiaan dalam membantu orang awam di kawasan konflik. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan