PM Digesa Umum Awal Tarikh PRU

Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak perlu mengumumkan tarikh untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan lebih awal bagi membolehkan rakyat menguruskan jadual masing-masing.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata pemberitahuan lebih awal mengenai tarikh pilihan raya menyenangkan rakyat merancang aktiviti tahunan mereka.

"Negara lain setahun lebih awal sudah tahu bulan atau tahun akan diadakan PRU.

"Tapi sekarang jadi teka-teki tarikh pilihan raya dan ada pula khabar angin yang mengatakan (pilihan raya) bulan Jun iaitu mungkin berlaku pada cuti sekolah," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, gesaan agar Najib mengumumkan lebih awal tarikh untuk diadakan pilihan raya bukan bagi kepentingan parti politik.

"Ini bukan isu parti buat persiapan kerana dari segi parti, kita sudah buat persiapan lebih awal.

"Tapi yang dilupakan oleh Perdana Menteri dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ialah rakyat, rakyat perlu buat persiapan sebab rakyat sudah ada aktiviti kehidupan mereka sepanjang tahun.

"Sebab itu saya bimbang jika diadakan pada musim cuti persekolahan ini, ia seolah-olah menafikan hak rakyat yang akan kerjakan umrah sebab selalunya cuti panjang ini ramai Muslim ambil peluang kerjakan umrah dan sebahagain mereka sudah menempah tiket dan pakej daripada agensi-agensi umrah termasuk Tabung Haji," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan