Jab. Imigresen Jelaskan Kenapa Pekeliling 2006 Dikeluarkan

Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, Pekeliling Imigresen yang dikeluarkan pada 29 September 2006 yang tidak membenarkan pegawai imigresen di pintu masuk negara bertanyakan kepada pelancong asing berapakah jumlah wang yang mereka bawa ke negara ini adalah bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dan salah anggap bahawa pegawai imigresen meminta imbuhan.

“Pekeliling itu hanyalah memberi garis panduan kepada pegawai-pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk darat, udara dan laut supaya pelawat asing tidak perlu mengisytiharkan 'wang tunjuk' sekurang-kurangnya ASD$50 sehari kepada pegawai imigresen yang bertugas sebagai satu pra syarat kemasukan pelancong ke negara ini.

“Arahan ini sebenarnya adalah untuk mengelakkan kekeliruan dan salah anggap dari warga asing bahawa pegawai imigresen meminta imbuhan,” kata beliau sebagai merujuk kepada kenyataan dalam akhbar NST bertarikh 19 Mac mengenai kontroversi pekeliling tersebut.

Dalam laporan muka depannya pada Isnin, akhbar itu melaporkan ramai pihak termasuk agensi penguatkuasaan dalam negara ini beranggapan pekeliling itu telah membuka laluan kepada segelintir pelancong menyalahgunakan pas lawatan mereka untuk tujuan-tujuan lain kerana mereka tidak perlu mengisytiharkan beberapa perkara ketika masuk ke negara ini.

Laporan itu meminta supaya kerajaan mengkaji semula penguatkuasaan pekeliling tersebut.

Menurut Alias, pekeliling itu sebenarnya telah meningkatkan integriti perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia dan mengelakkan salah faham semasa proses kemasukan pelawat asing di pintu masuk negara.

“Dakwaan yang mengatakan bahawa dengan pengeluaran arahan melalui Pekeliling Imigresen Bilangan 40/2006 yang tidak memerlukan pegawai imigresen bertanyakan 'wang tunjuk' telah menyebabkan kemasukan tanpa kawalan sehingga boleh memudaratkan keselamatan negara adalah tidak tepat.

“Dari segi undang-undang, kuasa pegawai imigresen untuk memeriksa dan menyoalsiasat pelancong asing di pintu masuk masih lagi berkuatkuasa. Pegawai imigresen boleh meminta segala dokumen sokongan seperti tujuan lawatan, tempat tinggal dan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di negara ini dan tempoh tinggal di negara ini termasuklah kemampuan perbelanjaan semasa keberadaan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua ini kata Alias, termaktub di dalam Seksyen 28 Akta Imigresen 1959/63 Interrogation Of Travellers & Seksyen 24 Examination Of Person Arriving By Sea Or Authorized Airport.

Pegawai imigresen, katanya lagi, sebenarnya boleh menolak kemasukan mana-mana warga asing jika berlaku pelanggaran Seksyen 24 Akta Imigresen 1959/63 iaitu seseorang itu tergolong sebagai imigran larangan dan pelawat asing boleh dihantar pulang ke negara terakhir pelawat asing berkenaan berlepas.

“Sebagai pegawai yang berada di barisan hadapan, Jabatan Imigresen Malaysia telah memainkan peranan sewajarnya untuk menapis kemasukan pelawat asing di pintu masuk negara. Pada tahun 2010 sahaja, sebanyak 32,670 pelawat asing telah ditolak kemasukan mereka di pintu masuk negara ini kerana tidak memenuhi syarat kemasukan.

“Mereka ini tergolong sebagai imigran larangan. Manakala pada tahun 2011 pula, sebanyak 42,496 pelawat asing ditolak kemasukan mereka,” tegas beliau.

Jabatan Imigresen Malaysia, kata Alias juga giat menjalankan operasi dari semasa ke semasa untuk memastikan pelawat-pelawat asing sentiasa mematuhi undang-undang semasa berada di negara ini.

Sepanjang tahun 2010 sahaja, sebanyak 6,017 operasi penguatkuasaan telah dilancar melibatkan tangkapan pelbagai warganegara asing iaitu seramai 25,542 atas pelbagai kesalahan imigresen seperti salah guna pas dan tinggal lebih masa.

“Dengan demikian, pendekatan untuk pengawalan dan penguatkuasaan kemasukan serta keberadaan pelawat-pelawat asing di negara ini adalah berasaskan undang-undang dan peraturan imigresen. Pelaksanaan yang dibuat sekarang adalah dilihat berkesan dan bersesuaian dengan keperluan pada waktu ini,” kata beliau lagi.

iklan

Video

Jumaat, 28 November 2014 12:15 AM

Anak Doakan Nurul Wahab Dapat Bayi Kembar

Jumaat, 28 November 2014 12:00 AM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 4)

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan