Pembantu Rumah Indonesia Ke Malaysia Perlu Berasaskan Empat Jawatan Kerja

Diterbitkan: Selasa, 20 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar berkata, pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia perlu berasaskan kepada empat jawatan kerja iaitu pengemas rumah, tukang masak, pengasuh bayi dan penjaga orang tua.

Menteri itu berkata, penempatan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia yang pada asal jadualnya mulai bulan ini tertunda hingga awal April kerana adanya kesepakatan antara kerajaan Indonesia dan Malaysia bahawa calon-calon berkenaan wajib menjalani latihan 200 jam dengan berasaskan kepada empat jawatan kerja itu.

Dalam kenyataan itu, Muhaimin tidak pula menyatakan sama ada setiap pembantu rumah akan hanya menjalankan satu tugas khusus mengikut kemahiran jawatan mereka.

Beliau berkata demikian seperti dipetik dalam satu kenyataan oleh Pusat Perhubungan Awam Kementerian di laman web kementerian itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan atau penafian dari Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia berhubung kenyataan Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, kementerian itu Dr Reyna Usman pada Khamis lalu bahawa pembantu rumah Indonesia yang akan dihantar ke Malaysia mulai bulan depan, akan hanya menjalankan tugas khusus berdasarkan salah satu daripada empat jawatan itu, dengan gaji minimum RM700 sebulan.

Dalam kenyataan itu, Muhaimin juga berkata, bahawa penghantaran pembantu rumah Indonesia ke luar negara akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat dan beliau optimis bahawa menjelang tahun 2017, Indonesia tidak lagi menghantar pembantu rumahnya ke luar negara.

Langkah itu terkandung dalam "Hala Tuju Pekerja Domestik 2017" yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kualiti kompetensi kerja masyarakat Indonesia yang hendak bekerja di luar negara.

“Dalam hala tuju pekerja domestik tahun 2017, kita memang mensasarkan pengiriman tenaga kerja Indonesia sektor domestik, yang bekerja sebagai Penata Laksana Rumah Tangga (PLRT) (istilah yang digunakan untuk pembantu rumah) boleh sampai ke titik sifar (tidak ada penghantaran)," katanya.

Sebagai penyelesaian, Menteri itu berkata, kementerian beliau harus menyediakan lebih banyak peluang kerja dalam negeri sehingga para pekerja wanita yang bekerja di luar negara boleh beralih bidang kerja mereka untuk bekerja dalam negeri. Jika terpaksa juga bekerja di luar negara di sektor domestik, kedudukan mereka perlu jelas dan diakui oleh negara penempatan dan perlu mempunyai pengakuan kerja berdasarkan jawatan dan bidang tugas dari negara penempatan yang meminta mereka, kata beliau. “Jadi pilihannya ialah harus ada pengakuan kerja berdasarkan jawatan dan profesion. Negara-negara penempatan harus mengakui (mereka) sebagai pekerja dengan jawatan dan profesion tertentu dengan memiliki hak-hak normatif seperti hak jam kerja, hak cuti, hak pendapatan sesuai standard minimum, standard upah atau insurans jaminan sosial seperti pekerja formal lainnya," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan