Masih Tiada Pihak Dipertanggungjawabkan Berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2010 - Berita Semasa | mStar

Masih Tiada Pihak Dipertanggungjawabkan Berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2010

Diterbitkan: Selasa, 20 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata siasatan masih lagi dibuat terhadap isu-isu kecuaian yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Namun, katanya, masih tiada lagi pihak yang dipertanggungjawabkan secara rasmi sehingga kini.

"Tiada Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai yang dipertanggungjawabkan secara rasmi terhadap kegagalan mematuhi peraturan kewangan, pengurusan, perolehan harga tinggi, 'not value for money' (bukan nilai untuk wang) dan sasaran tidak tercapai yang dilaporkan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).

Fong ingin tahu berapa ramai Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai yang telah dipertanggungjawabkan dan apakah kes spesifik dan tindakan termasuk soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib yang juga Menteri Kewangan memaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan surat kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Jabatan Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri supaya mengambil tindakan susulan terhadap isu yang dilaporkan dalam laporan itu.

Arahan lain termasuk untuk mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati terlibat dan melaporkan kemajuan tindakan tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Awam secara berkala iaitu setiap dua bulan, katanya.

Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) yang ingin tahu jumlah dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) yang diperuntukkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)dari 2007 sehingga 2011, Najib memaklumkan jumlahnya secara keseluruhannya adalah sebanyak RM137.1 juta.

"Iaitu 2007 (RM29 juta), 2008 (RM30 juta), 2009 (RM28.6 juta), 2010 (RM 30 juta) dan 2011 (19.5 juta)," katanya, sambil menambah bahawa pemberian peruntukan itu diberi kepada DBKL melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan