Isu MAS: Siasatan MYCC Tidak Dipengaruhi Mana-Mana Pihak

Diterbitkan: Selasa, 20 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas perjanjian pertukaran saham antara Malaysian Airline dan AirAsia Bhd tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak, termasuk kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan serta sebarang keputusan oleh MyCC tidak akan dipengaruhi kerana MyCC merupakan sebuah badan bebas. "MyCC dipengerusikan oleh Tan Sri Siti Norma Yaakob, seorang bekas hakim yang berintegriti tinggi, dan saya yakin kemampuan MyCC untuk tentukan keputusan dalam kes ini," katanya.

Tan Sri Siti Norma Yaakob, Bekas Hakim Besar Malaya dilantik sebagai Pengerusi MyCC pada 1 April, 2011 untuk mengetuai MyCC sebagai badan pemantau yang diyakini dapat membantu mengurangkan monopoli dan pakatan mengawal harga sesuatu barangan dalam industri serta tidak memberi kesan buruk kepada aktiviti perdagangan tempatan.

Ismail berkata siasatan oleh MyCC itu dibuat demi kepentingan orang ramai. "Siasatan serta keputusan adalah untuk menjaga kepentingan orang ramai serta pengguna. Katakan, melalui penggabungan itu pengguna tidak mempunyai pilihan lain, syarikat penerbangan menaikkan harga, perkhidmatan tidak bagus dan sebagainya, ini merugikan pengguna. Jadi, kementerian melihat isu ini dari aspek kepenggunaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, Selasa.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SSM Mohd Naim Daruwish, Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) Datuk Daud Tahir.

Sementara itu, mengulas mengenai MoU tersebut, Ismail berkata perjanjian tersebut akan melibatkan bidang penyelidikan dan pembangunan strategik, penempatan bersilang, latihan korporat dan aktiviti pembelajaran, penyertaaan UIAM sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pembangunan Kurikulum Akademi Latihan SSM, serta program latihan korporat.

"Melalui penyelidikan dan pembangunan strategik, kita akan cuba dapatkan bantuan dari UIAM untuk memasukkan prinsip-prinsip syariah ke dalam kerangka undang-undang korporat negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata melalui penempatan bersilang pensyarah UIAM memberi syarahan berkala berhubung aspek dan isu berkaitan dengan rangka kerja kawal selia korporat, manakala SSM akan menghantar pegawai-pegawai membuat kajian penyelidikan bersama tenaga pengajar di UIAM. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan