Sikap Tidak Adil JTF Timbul Kemarahan Papa

Diterbitkan: Isnin, 19 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Beberapa pegawai dari Malaysia yang menghadiri mesyuarat Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia didakwa bersikap tidak adil dalam pemilihan agensi pembantu rumah.

Pemangku Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Jeffrey Foo mendakwa delegasi Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed mengarahkan agensi di Indonesia untuk membekalkan amah kepada hanya lima agensi di Malaysia.

Beliau mendakwa, beberapa pegawai yang menghadiri mesyuarat di Jakarta pada Khamis lalu dilaporkan sebagai berkata, agensi-agensi lain di Malaysia tidak layak.

Foo berkata, beberapa pegawai dari Indonesia yang turut serta dalam mesyuarat itu telah memaklumkan kepada agensi tersebut bahawa Sheikh Yahya mengarahkan agensi di Indonesia memindahkan perjanjian dengan Papa dan 106 amah yang terlatih untuk dibekalkan kepada lima agensi terpilih.

"Bagaimana mereka boleh mengambil amah yang kami pilih dan memindahkan mereka ke agensi lain," katanya pada Ahad.

Kedua-dua negera telah menandatangani perjanjian pada Mei tahun lalu untuk membekalkan amah ke negara ini bulan depan selepas pengambilan pembantu rumah tersebut dibekukan ekoran berlakunya kes penderaan di Malaysia.

Dalam memorandum persefahaman (MoU), kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 di mana majikan perlu membayar RM2,711 dan bakinya sebanyak RM1,800 ditanggung sendiri oleh pembantu rumah.

Pada November tahun lalu, Sheikh Yahya dipetik sebagai berkata, kira-kira 121 daripada 400 agensi berdaftar di Malaysia bersetuju dengan syarat tersebut dan pihaknya akan mengambil tindakan ke atas agensi atau majikan yang melanggar undang-undang itu.

Beliau dilaporkan berkata, senarai agensi-agensi akan disiarkan di laman web jabatan itu.

Bagaimanapun, pemeriksaan di laman web jabatan itu pada Ahad hanya memaparkan nama lima agensi saja.

"Ia tidak adil kepada agensi pembantu rumah lain yang bersetuju dengan kos pengambilan ditetapkan pada RM4,511 dalam MoU itu.

"Kami bersetuju dengan syarat yang terkandung dalam MoU itu dan menghantar semua dokumen kepada jabatan tersebut," katanya.

Sheikh Yahya berkata, pada Februari, amah Indonesia yang sepatutnya tiba di Malaysia, awal bulan ini ditangguhkan penghantarannya ke bulan depan kerana masih kekurangan latihan.

Usaha untuk menghubungi beliau masih gagal.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan