PAS Parti Tidak Konsisten, Melencong Dari Prinsip Perjuangan Islam

Diterbitkan: Isnin, 19 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pas adalah parti yang tidak konsisten dalam perjuangan menegakkan Islam dan terbaru ia melencong daripada prinsipnya apabila menyokong umat Islam boleh bekerjasama dan menjalin hubungan dengan Yahudi.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pendirian Pas mengenai perkara itu yang dinyatakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua malam lepas membuktikan Pas parti tidak berprinsip.

"Pas begitu keras mengkritik Umno apabila dikaitkan mempunyai hubungan dengan Israel tetapi kini jelas kenyataan Abdul Hadi membuktikan parti itu tidak selari dengan perjuangan Islam mereka.

"Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah kata tidak boleh berdagang atau bekerjasama dengan Yahudi tetapi kini Abdul Hadi pula kata sebaliknya," kata Mohd Shafie pada sidang media sempena program Mesra Rakyat Bersama Menteri di Pekan Ayer Hitam, Jerlun, kira-kira 25 kilometer dari sini, Ahad.

Turut hadir pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga Anggota Parlimen Jerlun.

Dalam sesi soal jawab pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin anjuran Dewan Muslimat Pas Pusat di Shah Alam dua malam lepas, Abdul Hadi memberi alasan kerjasama itu dibolehkan dengan Yahudi yang tidak berpegang kepada ideologi Zionis.

Mohd Shafie berkata perjuangan parti itu dalam soal kemanusiaan seperti isu Palestin dan pelaksanaan hukum hudud juga tidak jelas.

"Pas sebenarnya bukan hendak memperjuangkan Islam tetapi mempergunakan Islam untuk mencapai matlamat politik," katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Mengenai kemelut Pas Kedah, beliau berkata Umno tidak campur tangan urusan pentadbiran kerajaan negeri namun menganggap penubuhan Jawankuasa Pemandu oleh Pas Pusat untuk memantau dan menasihat kerajaan negeri hanya melambatkan proses membuat keputusan dan mengurangkan kuasa Menteri Besar.

"Perkara seumpama ini (lantik Jawatankuasa Pemandu) tidak pernah dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN)....inilah yang berlaku apabila tidak cukup pengalaman mentadbir negeri," katanya.

Jawatankuasa Pemandu itu ditubuhkan berikutan kemelut Exco kanan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh menolak dilantik semula sebagai Exco.

Sebelum itu, Mohd Shafie bersama Ahmad Bashah, Mukhriz serta setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Abdul Aziz bersarapan pagi bersama orang ramai di Pekan Kerpan dan selepas membuat tinjauan mesra di Pasar Kerpan.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan