Hasan Ali Tiada Masalah Sebagai Adun Bebas Di Selangor

Diterbitkan: Isnin, 19 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas anggota exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali memulakan peranan baru dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai anggota bebas dan menurut beliau tiada masalah baginya berbahas sebagai anggota bebas dalam persidangan kali ini.

"Tak ada masalah sebagai ADUN bebas...saya dipecat daripada menjadi ahli PAS dan digugurkan daripada barisan exco.

"Saya rasa bermaruah (menjadi Adun Bebas)...saya bukan rasuah saya tak liwat, saya bukannya melakukan benda-benda yang dilarang oleh Islam," katanya kepada pemberita selepas upacara perasmian Sidang DUN Selangor ke 12 oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini Isnin.

Dalam sidang DUN kali ini Hasan duduk di belakang barisan pembangkang DUN Selangor iaitu, Barisan Nasional. Tempat lama beliau kini diduduki oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor.

Hasan berkata, pada persidangan kali in beliau tetap akan mengenengahkan agenda Islam, Melayu dan institusi Raja (IMR) dalam perspektif masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, beliau akan menyentuh soal-soal kepupusan agama, amalan agama, hak istimewa orang Melayu di Selangor dan isu orang Melayu secara keseluruhan dalam perspektif global.

Hasan mendakwa selama menjadi exco tiga tahun 11 bulan beliau belum pernah nampak agenda kerajaan negeri untuk menyelamatkan orang Melayu.

Sementara itu Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim berkata, Hasan akan diberikan ruang serta peluang untuk membangkitkan isu semasa dalam persidangan dewan.

"Tugas saya tidak membezakan ADUN, apabila mereka berada dalam dewan taraf mereka sama tak kira Menteri Besar, Exco, penyokong kerajaan, pembangkang atau bebas semuanya dianggap sama taraf," katanya ketika ditemui selepas upacara perasmian sidang dewan pada Isnin.

Ditanya mengenai ketidakhadiran bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini, Teng berkata, beliau tidak menerima apa-apa makluman atau surat daripada ADUN Sungai Panjang itu.

"Setakat ini hanya ADUN Kota Damansara (Dr Mohd Nasir Hashim) yang telah meminta cuti kerana menjalani pembedahan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan