DRB-Hicom Tawar Bidaan Terbaik Beli Proton Holdings

Diterbitkan: Isnin, 19 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata penjualan kepentingan Proton Holdings kepada DRB-Hicom dibuat berdasarkan bidaan terbaik yang dikemukakan syarikat berkenaan berdasarkan mekanisme saham semasa.

Jelas beliau, walaupun Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjual kepentingan Proton Holdings pada harga yang lebih rendah iaitu RM5.50 sesaham, ia merupakan langkah terbaik bagi syarikat berkaitan kerajaan itu.

"Bila bidaan dibuka, ada dua pihak menunjukkan minat iaitu DRB-Hicom dan satu lagi ialah pihak berkepentingan dengan Datuk Nadzmi Salleh (bekas Pengerusi dan Pengarah Proton Holdings). Setelah dibuat penilaian, Khazanah membuat keputusan untuk menerima bidaan terbaik daripada DRB-Hicom.

"Walaupun harga saham yang dibeli dahulu lebih tinggi daripada RM5.50, kita harus faham mekanisme pasaran saham.

"Tidak bermakna kalau kita beli saham RM8, ia akan kekal pada harga itu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) yang ingin mengetahui sama ada Khazanah mengalami kerugian apabila menjual saham Proton Holdings pada harga RM5.50.

Pada 16 Januari lalu, Khazanah mengumumkan penjualan 42.74 peratus kepentingannya dalam Proton Holdings kepada DRB-Hicom pada harga RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion dan DRB-Hicom membuat pembelian tambahan sebanyak 7.27 peratus lagi saham pengeluar kereta nasional itu di pasaran terbuka sebanyak RM217 juta pada 17 Januari.

Apabila selesai proses jual beli itu, DRB-Hicom akan membuat tawaran am mandatori (MGO) bagi baki saham Proton Holdings yang tidak dimilikinya juga pada RM5.50 sesaham, sekali gus menjadikan kos keseluruhan pengambilalihan itu RM3 bilion.

Sementara itu Mustapha berkata, keputusan Khazanah menjual kepentingannya dalam Proton Holdings dibuat berdasarkan dua faktor utama iaitu penilaian dari sudut teknikal dan komersial.

"Hasilnya 70 peratus keputusan itu bergantung kepada keupayaan teknikal. Sebenarnya Khazanah sudah buat keputusan untuk jual Proton sudah lama.

"Khazanah memang mengintai peluang untuk keluar daripada industri automotif kerana bagi mereka ia tidak menjana pulangan yang baik," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan