Anwar Takut Raja Petra Bocor Rahsia - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 19 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penakut kerana meminta penganjur forum Wikileaks mengeluarkan nama Raja Petra Kamarudin dari senarai peserta forum itu.

Muhyiddin berkata keengganan ketua pembangkang untuk berdepan dengan pengendali portal MalaysiaToday itu menunjukkan bahawa Anwar bimbang Raja Petra akan membocorkan segala rahsianya.

"Dia (Anwar) hanya sanggup berdepan dengan orang asing tetapi tak sanggup berdepan dengan Raja Petra. Raja Petra sudah mencabar dia berkali-kali, nampaknya mungkin kerana dia takut berhadapan dengan Raja Petra yang pernah menjadi penyokong kuat beliau (akan) membocorkan rahsia-rahsianya.

"Jadi kalau Anwar betul anak jantan, dia patut ke depan dan tak harus bimbang, jangan takut sangat apa yang disebut Raja Petra, malahan cabaran yang dibuat oleh Raja Petra tak disahut, mungkin (ada) sesuatu yang beliau (Anwar) nak selindung dari orang ramai," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Umno Wilayah Persekutuan di Stadium Tertutup Titiwangsa, di sini Ahad.

Forum yang berlangsung pada Sabtu di Kent, England bagi membincangkan senario politik global itu turut mempertemukan pengasas laman web WikiLeaks Julian Assange dan Anwar menerusi komunikasi Skype.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Parlimen yang akan memutuskan terma rujukan bagi Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi meneliti isu berkaitan kilang nadir bumi Lynas, bukannya kerajaan.

Beliau berkata penubuhan PSC itu adalah untuk meneliti isu berkaitan Lynas oleh Anggota Parlimen, wakil kerajaan dan bukan kerajaan yang akan dilantik kelak.

"Jadi soal tidak ada kuasa tak timbul, ianya bukan keputusan kerajaan sahaja tapi itu adalah keputusan Parlimen. PSC akan bersidang untuk berbincang soal Lynas dan yang itu adalah skop kuasa Parlimen bukan kerajaan," katanya.

Kabinet pada Jumaat dilaporkan memberi lampu hijau kepada penubuhan jawatankuasa itu di tengah-tengah kebimbangan berhubung sebarang kemungkinan risiko ke atas keselamatan dan kesihatan.

Mengulas isu Bersih 3.0, Muhyiddin berkata ia hanyalah gimik politik dari pihak pembangkang.

"Kita tak tahu apa sebab dia nak buat perhimpunan, semua pun gimik politik saja, pasal dia rasa momentum Pakatan (pembangkang) agak menurun, jadi nak bina balik ialah dengan mengadakan begini," katanya.

Berkenaan isu kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Muhyiddin berharap agar ia tidak dipolitikkan kerana usaha sentiasa dijalankan oleh kerajaan bagi menangani masalah itu.

Malah, katanya, beliau telah mengarahkan timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terlibat termasuk Dong Zong (Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia) serta Jiao Zong (Persatuan Gabungan Guru Sekolah Cina Malaysia).

Beliau berkata hasil mengenai perbincangan itu dijangka disampaikan kepadanya dalam masa terdekat.

"Dengan keputusan itu nanti kita ada cara bagaimana nak kita tentukan masalah kekurangan ini dapat kita atasi, jadi ia bukan suatu perkara yang kita lakukan dengan tidak mengambil perhatian tentang keperluan sebenar, kerana guru di sekolah Cina ini perlukan latihan untuk menguasai bukan sahaja subjek atau opsyen mereka tetapi juga bahasa Mandarin.

"Jadi sebab itu di sesetengah tempat disebabkan kekurangan guru kita hantarlah mana-mana guru yang sesuai untuk isi kekosongan buat sementara," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan