Peruntukan Tambahan RM30 Juta Untuk Orang Asli - Najib

Diterbitkan: Ahad, 18 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAPAH: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk masyarakat Orang Asli di seluruh negara pada tahun ini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan berkenaan akan disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Oleh kerana masyarakat Orang Asli begitu setia kepada kerajaan saya tak ragu-ragu meluluskan peruntukan ini.

"Nak buat jambatan atau jalan, nak buat rumah... kita bagi," katanya semasa menghadiri Program Jalinan Mesra Masyarakat Orang Asli Bersama Perdana Menteri di Kampung Kuala Woh, dekat sini Sabtu.

Kira-kira 10,000 orang menghadiri majlis berkenaan termasuk masyarakat Orang Asli dari seluruh negara.

Dalam perhimpunan yang disifatkan mencatat sejarah perhimpunan Orang Asli di seluruh negara, Najib berkata, masyarakat pribumi berkenaan perlu mendapat pembelaan sama seperti masyarakat lain di seluruh negara. Katanya, pembangunan negara yang dirancang mesti bersifat menyeluruh, keterangkuman dan mestilah berasaskan prinsip keadilan sosial melalui pelan strategik KKLW selain memberi perhatian kepada hasrat rakyat. "Dakaplah aspirasi masyarakat Orang Asli, laksanakan pelan supaya mereka dapat perubahan yang lebih baik daripada kerajaan. Saya ingin melihat kemajuan masyarakat ini ditingkat dan dilonjak dengan skala lebih besar dan lebih jauh kehadapan," katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan supaya masyarakat Orang Asli mementingkan pendidikan dan menuntut perubahan sikap dengan menguasai ilmu.

"Kita lihat kadar keciciran sebanyak 29 peratus agak tinggi. Saya harap tolong jangan bawa anak keluar dari sekolah. Walaupun nak memburu, musim buah dan sebagainya, boleh atau tidak?" tegasnya.

Beliau berkata, sikap Orang Asli mengenai kepentingan pendidikan mesti berubah dan dilakukan tanpa mengubah budaya hidup serta tradisi asal seperti seni dan tarian yang sudah diterima negara.

Kata Perdana Menteri, sekiranya ada anak-anak Orang Asli yang berpotensi untuk maju dalam bidang pelajaran, kerajaan bersedia memberikan biasiswa supaya mereka boleh melanjutkan pelajaran sama ada di dalam atau luar negara.

Terdapat kira-kira 180,000 masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Najib turut mengucapkan tahniah ke atas kerajaan negeri Perak kerana mewartakan tanah seluas 6,708 hektar untuk masyarakat Orang Asli di negeri ini bagi perumahan, pertanian dan hutan rayau.

"Saya difahamkan tindakan ini juga sedang diusahakan di negeri-negeri lain," katanya. Beliau berkata pada tahun ini, sejumlah RM66.6 juta diperuntukkan untuk pembangunan 190 unit rumah baru dan 82 unit untuk baik pulih rumah di perkampungan Orang Asli.

Katanya, di bawah strategi Lautan Biru, 479 unit dibina dan untuk tahun ini sahaja 87 buah rumah baru akan dibina, yang mana 52 unit sudah siap dibina oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Najib berkata, di Perak, seluas 6,042 hektar dibangunkan untuk tanaman getah dan kelapa sawit yang memberi manfaat kepada 2,536 peserta Orang Asli.

Masyarakat Orang Asli turut menerima bantuan sebanyak RM15 juta untuk cerminmata, manakala 7,152 menerima wang tunai RM100, dua pasang pakaian sekolah, duapasang kasut dan beg sekolah yang disumbangkan 1Malaysia Development Berhad(1MDB).

Pada majlis itu, Najib juga menyampaikan elaun Tok Batin sebanyak RM800 seorang kepada lima wakil mereka, Input Pertanian berupa racun dan mesin rumput untuk digunakan di Pos Basil, Kuala Wu dan Bawong di Perak.

Beliau juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM33,000 kepada 30 pelajar Orang Asli cemerlang.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan