Satu Tugas Pembantu Rumah Hanya Relevan Untuk Bidang Tertentu – Mama

Diterbitkan: Sabtu, 17 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengkhususan satu tugas oleh pembantu rumah Indonesia hanya relevan dilaksanakan pada bidang-bidang tertentu yang bersesuaian, kata Ahli Majlis Penasihat Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (Mama), Sabariah Abdullah.

Beliau berkata, dengan gaji minimum RM700 bagi pembantu rumah melakukan satu tugas khusus sahaja dianggap sebagai tidak berpatutan.

“Bukan semua majikan di Malaysia berkemampuan untuk menggambil ramai pembantu rumah pada satu-satu masa. Kebiasaannya, seorang majikan hanya ambil seorang pembantu rumah sahaja.

“Sebagai contoh, jika majikan mengambil seorang pembantu rumah untuk mengemas rumah, kalau 10 jam waktu dia bekerja dalam sehari, mungkin hanya dua jam masa yang diperuntukkan untuk mengemas.

“Selebihnya, dia buat apa? Tak kan dia goyang kaki sahaja menonton televisyen? Banyak waktu dia berehat mengalahkan orang lain yang bekerja di pejabat, itu belum lagi dikira dengan satu hari cuti seminggu yang diberikan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Beliau mengulas laporan media pada Jumaat mengenai Indonesia yang mula melatih pembantu rumah untuk dikirim ke Malaysia di mana mereka hanya akan melakukan satu tugas yang khusus dengan gaji minimum RM700.

Laporan itu berdasarkan hasil yang dicapai pada pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indnonesia serta majikan Malaysia.

Kesepakatan yang dicapai itu menjelaskan mengenai empat jawatan khusus untuk pembantu rumah Indonesia iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah.

Setakat ini, seramai 106 pembantu rumah Indonesia mula dilatih selama 200 jam atau 21 hari dengan kemahiran khusus masing-masing.

Sabariah berkata, pihak Indonesia perlu mengamalkan pendekatan yang lebih fleksibel dalam soal tugas pembantu rumah untuk majikan di Malaysia.

“Dalam mana-mana kerja pun perlu ada ruang untuk rundingan dan budi bicara antara majikan dan pekerja dalam melaksanakan tugas dan peranan mereka.

“Jika pembantu rumah itu sanggup dan secara sukarela serta berkeupayaan untuk melakukan lebih daripada satu tugas tanpa menjejaskan tugas yang lagi satu, saya rasa ia tidak menjadi masalah.

“Menjaga orang tua dan mengasuh bayi mungkin boleh dikhususkan untuk satu tugas sahaja. Namun saya berpendapat bahawa tugas memasak dan mengemas boleh diletakkan di bawah satu kategori,” katanya yang turut memaklumkan Mama kini mempunyai keahlian hampir 1,000 majikan di seluruh negara.

Beliau menambah, Mama mungkin akan bertemu dengan kerajaan dan pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia bagi membincangkan mengenai perkara tersebut terutama cadangan untuk menjadi tugasan pembantu rumah fleksibel.

"Majikan dan bakal majikan di negara ini juga boleh bertemu dan menyertai Mama bagi menyuarakan masalah, pandangan dan cadangan yang melibatkan isu pembantu rumah," katanya.

Sabariah bagaimanapun menjelaskan, tujuan pengkhususan tugas yang dibuat oleh pihak Indonesia itu sebenarnya merupakan usaha negara jiran untuk meningkatkan kualiti pekerja domestik mereka yang akan berkhidmat dengan majikan di Malaysia.

Beliau berkata, ini terutama soal keselamatan dan kesihatan bayi majikan, apabila pengasuh bayi merupakan salah satu jawatan yang dikhususkan.

“Menjaga bayi tidak sama dengan menjaga kanak-kanak berusia 10 tahun. Mereka memerlukan pengawasan dan pemerhatian sepanjang masa.

“Pembantu rumah tidak boleh buat dua kerja dalam satu masa sekiranya mereka mengasuh bayi. Aspek keselamatan ini yang perlu dititikberatkan oleh pembantu rumah, juga majikan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Justeru, pengkhususan satu tugas bagi pembantu rumah hanya bersesuaian untuk bidang tertentu,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Saba Islamic Domestic Help Advisory (SAIDHA) yang mewujudkan sebuah program kesejahteraan menyeluruh membabitkan pembantu rumah Indonesia di negara ini.

Program tersebut dinamakan Sistem Perlindungan, Pemantauan dan Kebajikan Hal Ehwal Pembantu Rumah Indonesia (Helper).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan