Pemulihan Malaysia Airlines Jadi Keutamaan - Pengerusi

Diterbitkan: Sabtu, 17 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Malaysia Airlines berkeyakinan bahawa Kerangka Kerjasama Komprehensif (CCF) akan memanfaatkan kedua-dua Malaysia Airlines dan AirAsia dengan menggalakkan synergi di dalam banyak bidang.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Malaysia Airlines Tan Sri Md Nor Yusof berkata MAS kini di dalam proses mewujudkan syarikat-syarikat usahasama bagi melakukan perolehan dan latihan serta perkhidmatan penyelenggaraan yang berpotensi yang disediakan oleh Malaysia Airlines Engineering bagi kumpulan pesawat AirAsia.

"Pertukaran saham bukan sebahagian daripada masalah kewangan yang teruk di Malaysia Airlines, ia adalah sebahagian daripada penyelesaiannya."

"Sama juga, perjanjian kerjasama antara Malaysia Airlines dan AirAsia bukanlah sebahagian daripada masalah kewangan yang teruk di Malaysia Airlines. Ia adalah sebahagian daripada penyelesaiannya," katanya.

"Malaysia Airlines perlu dibenarkan memberi fokus memulihkan dirinya keluar dari krisis kewangan semasa," katanya.

Inisiatif utama di dalam Pelan Perniagaan yang akan dilaksanakan di dalam tempoh enam bulan, menurut Md Nor, termasuk mengukuhkan pengurusan perolehan, pelancaran syarikat penerbangan premium jarak dekat serantau yang baharu dan pengenalan pesawat perdana Airbus A380 ke dalam kumpulan pesawat MAS.

"Syarikat itu juga perlu mengukuhkan kunci kira-kira dengan segera dan sedang mempertimbangkan pelbagai opsyen."

"Pada masa yang sama, kami akan terus bekerja dengan rapat dengan kerajaan Malaysia bagi menyeimbangkan naluri komersil kami dan tekanan kewangan dengan kepentingan lebih meluas kerajaan," katanya.

Malaysia Airlines mencatatkan kerugian bersih yang signifikan sebanyak RM2.5 bilion pada 2011, pada masa keadaan yang genting apabila syarikat-syarikat penerbangan di seluruh dunia berhadapan cabaran melalui persaingan yang sengit, kos bahan api yang tinggi dan penularan ketidakstabilan ekonomi.

Faktor negatif itu, yang memberi kesan kepada industri penerbangan global, telah semakin meningkat sejak beberapa tahun lepas.

Di dalam dekad yang lepas, banyak syarikat penerbangan kebangsaan mengalami kegagalan disebabkan perubahan persekitaran itu dan langkah untuk mencari modal perniagaan yang mapan menjadi satu cabaran.

"Sememangnya, pasaran menghukum syarikat penerbangan yang tidak kukuh," katanya.

Lembaga Pengarah itu, kata Md Nor telah mengenal pasti kelemahan struktural di dalam Malaysia Airlines pada awal 2011 dan mengusahakan satu siri langkah yang proaktif untuk mengekang kerugian dan mengukuhkan syarikat itu bagi mencatatkan pemulihan dan mengekalkan prestasi masa depan.

"Satu batu asas pelan itu ialah CCF pada Ogos 2011 yang melibatkan pertukaran saham antara Khazanah Nasional Berhad dan Tune Air, iaitu satu perjanjian kerjasama antara Malaysia Airlines, AirAsia dan AirAsia X, dan penstrukturan lembaga pengarah dan pasukan pengurusan Malaysia Airlines," katanya.

Susulan kepada perubahan itu, katanya lembaga pengarah dan pasukan pengurusan mengesahkan Pelan Perniagaan bagi mencapai pemulihan dan prestasi masa depan yang berkekalan Malaysia Airlines.

"Ini adalah keutamaan kami," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan