Majikan Masih Boleh Runding Terhadap Keputusan Satu Amah Satu Tugas - Papa

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemangku Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Jeffrey Foo berkata penetapan gaji amah Indonesia sebanyak RM700 sebulan dengan pengkhususan kepada satu tugas hanyalah prinsip berdasarkan kurikulum latihan di Indonesia untuk membekalkan amah berkualiti dan profesional.

Katanya, masih terdapat kelonggaran dan ruang untuk majikan berunding dengan agensi berhubung bidang tugas pembantu rumah yang bakal berkhidmat dengan mereka.

"Yang dimaksudkan (Indonesia) amah hanya dilatih khusus untuk satu bidang, sebagai menjelaskan tugas utama mereka kerana prinsip dan peraturannya begitu.

"Saya percaya majikan masih boleh berunding dan menerangkan tentang tugas-tugas sampingan yang mungkin diperlukan daripada amah yang bakal digaji," katanya kepada mStar Online, Jumaat.

Menurut Foo, persetujuan daripada pembantu rumah diperlukan terhadap tugas utama, selain kerja sampingan lain yang ditetapkan majikan sebelum mereka dihantar bekerja di negara ini.

Mana-mana pembantu rumah yang tidak bersetuju dengan tugas utama yang ditawarkan majikan atau enggan melakukan sebarang tugas di luar bidang utama tidak akan dihantar berkhidmat dengan majikan berkenaan.

"Kalau mereka sudi dan sukarela apa salahnya. Kalau tak ada bantahan dan mahu terima tugas, mereka akan dibawa datang bekerja di sini. Semuanya ikut persetujuan amah," katanya.

Bagaimanapun Foo berkata, majikan harus terlebih dahulu memaklumkan kepada agensi pembantu rumah mereka berkaitan tugas utama dan kerja sampingan yang perlu dilakukan pembantu rumah mereka bagi mengelakkan timbulnya masalah.

"Selepas agensi terima maklumat daripada majikan, kita akan sampaikan kepada Indonesia dan pihak di sana pula akan tanya mereka yang bakal jadi amah sama ada bersetuju dengan syarat majikan.

"Syarat dan permintaan adalah secara bertulis oleh majikan. Inilah yang akan dipersetujui amah," ujarnya.

Foo berkata beliau tidak melihat perkara ini menjadi masalah besar kepada kerajaan Indonesia atau pembantu rumah yang dilatih memandangkan gaji yang ditawarkan Malaysia agak tinggi.

"Malaysia tawar gaji RM700. Bayar lebih...tak ada masalah mendapat lebih sedikit (khidmat) daripada pembantu mereka," beliau memberi pandangan.

Justeru, Foo meminta majikan yang bercadang mendapatkan khidmat pembantu rumah Indonesia supaya tidak melihat penetapan ini sebagai isu besar.

Pada Khamis, Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia mencapai kesepakatan yang menetapkan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) akan dihantar mengikut bidang tertentu iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Ini bermakna seorang amah yang diupah hanya akan melakukan tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700.

Mengulas lanjut tentang gaji, Foo percaya penetapan itu dibuat sebagai menghadapi persaingan dari negara-negara lain seperti Hong Kong, China dan Singapura yang membayar lebih untuk khidmat pembantu rumah asing termasuklah dari Indonesia.

Katanya, sebagai negara membangun majikan harus akur dengan keputusan sebulat suara yang dicapai oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Dalam masa yang sama beliau turut mengakui angka tersebut dilihat tinggi bagi majikan berpendapatan sederhana.

"Bagi majikan yang kurang mampu, mereka anggap gaji sebanyak itu tak berpatutan.

"Tapi jika dibandingkan dengan latihan kemahiran yang mereka perlu lalui, sudah pasti kerja mereka lebih berkualiti berbanding amah sebelum ini," katanya.

Hasil persetujuan Malaysia - Indonesia, kesemua amah harus mengikuti latihan selama 200 jam di pusat bimbingan yang diiktiraf di Indonesia yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 21 hari.

Di Indonesia 12 daripada 176 agensi pekerjaan bersedia melatih pembantu rumah berkenaan manakala lima daripada 221 agensi pekerjaan di Malaysia bersetuju menguruskan penempatan mereka.

Kumpulan amah pertama seramai 106 orang akan tiba di Malaysia bulan depan selepas selesai menjalani latihan yang bermula, Khamis.

Sambil berharap masalah dan rungutan majikan berkaitan kualiti pembantu rumah Indonesia selesai atau sekurang-kurangnya berkurangan, Foo berkata majikan masih boleh menukar pembantu rumah mereka sekiranya mendapati mereka bermasalah.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan