Gagal Pamer Sijil Halal: Jakim Kuat Kuasa Penjara, Denda Mulai 1 Julai

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Julai ini, pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan berdepan hukuman denda dan penjara.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata jabatan itu akan melakukan pemantauan di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Kami akan membuat lawatan operasi di setiap premis mulai 31 Mac sebagai langkah pendidikan untuk pastikan setiap premis perniagaan mempunyai sijil halal dan tidak hanya mempamerlan logo halal sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata hanya sijil dan logo halal yang sah dikeluarkan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan diiktiraf.

"Sijil halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf dan akan dikenakan tindakan. Semua ini termaktub di bawah Seksyen 16 Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011," katanya.

Hakimah berkata sehingga Februari lalu, sebanyak 1,420 permohonan sijil halal telah diterima. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan