Bapa Dirang Diusir Ke Negara Asal, Tidak Terlibat Kes Bunuh Anak

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Bapa kandung Nurul Nadhirah Abdullah, 5, yang sebelum ini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan anak perempuannya itu didapati tidak terbabit dengan kes itu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata siasatan bagaimanapun mendapati lelaki berusia 30-an yang merupakan warganegara Filipina itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan masuk ke negara ini.

"Kita telahpun kemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPP) dan arahan telah dikeluarkan supaya dia diusir ke negara asal secepat mungkin," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.

Beliau sekali lagi menegaskan individu yang terlibat dalam kes pembunuhan Dirang kini telahpun berada dalam tahanan polis dan tindakan pendakwaan akan dilakukan secepat mungkin.

Katanya polis kini masih menunggu beberapa laporan daripada Jabatan Kimia untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum dikemukakan kepada TPP untuk tindakan lanjut.

Katanya tiga suspek berkenaan yang berumur lingkungan 30-an termasuk seorang wanita, yang kesemuanya penagih dadah juga akan dibawa ke mahkamah pada Sabtu untuk mendapatkan lanjutan perintah tahanan reman.

Nurul Nadhirah ataupun dikenali sebagai Dirang ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac lalu.

Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Berikutan kehilangan mangsa, polis menahan tiga orang jiran mangsa yang merupakan penagih dadah dan bapa kandung mangsa untuk membantu siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan