Sambutan Terhadap MyKomuter Memberangsangkan - KTMB

Diterbitkan: Khamis, 15 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah empat lagi tren MyKomuter akhir bulan ini, kata Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail.

"Empat tren MyKomuter ini adalah sebahagian dari proses tambahan tren secara berperingkat untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sedia ada," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata MyKomuter atau perkhidmatan tren enam gerabak (SCS) yang sudah beroperasi selama seminggu mendapat reaksi positif daripada pengguna.

"Ketika ini perkhidmatan MyKomuter beroperasi dengan empat tren. Pihak kami mendapat reaksi positif daripada pengguna dan rata-rata pengguna jelas berpuas hati dengan keadaan MyKomuter yang lebih luas dan jelas lebih selesa.

"Namun sepanjang seminggu perkhidmatan ini, bilangan pengguna belum meningkat secara mendadak, kita jangka peningkatan penumpang akan mula meningkat bermula awal April ini selaras dengan tambahan empat lagi tren baru," katanya.

Di samping itu Mohd Fazil meminta pengguna dan orang ramai bersikap lebih bertanggungjawab apabila menggunakan MyKomuter.

"Seminggu beroperasi kita lihat ada juga tangan yang cuba merosakkan kemudahan di dalam MyKomuter. Contohnya ada cermin pada bekas alat pemadam api dipecahkan selain itu ada pihak yang tidak bertanggungjawab membaling batu ke arah MyKomuter dan juga tren sedia ada," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata KTMB akan sentiasa membuat intipan untuk menangkap pihak yang bertanggungjawab sambil menambah ada kes yang pihaknya sudah berjaya menahan individu yang terbabit.

"Pengguna serta orang ramai harus faham tren ini sangat mahal dan perlu lebih menghargainya. Sebarang perbuatan khianat akan turut memberi kesan kepada pengguna lain," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan