Perancangan Strategik Hala Tuju Sistem Pendidikan Dirangka - Muhyiddin

Diterbitkan: Khamis, 15 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengadakan siri dialog kebangsaan bermula April ini bagi mendapatkan input untuk penyediaan satu Pelan Pembangunan Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini, pelan itu kemudiannya akan digunakan untuk menggubal satu Perancangan Strategik mengenai hala tuju sistem pendidikan negara pada masa akan datang.

"Kita menjangkakan laporan awal akan dapat dihasilkan pada penghujung September dan laporan akhir dapat dikeluarkan pada Disember tahun ini, serta diikuti dengan penggubalan dan pembangunan Perancangan Strategik pendidikan yang baru," katanya menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang bertanya sama ada kementerian berhasrat mengkaji semula sistem pendidikan kini agar ia seimbang dengan perkembangan pelajar daripada aspek ilmu, jasmani, rohani dan akhlak.

Muhyiddin berkata usaha penilaian sistem pendidikan itu akan dilaksanakan oleh Pejabat Pengurusan Projek (PMO) yang diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, yang mengambil kira sembilan bidang keutamaan yang telah dikenal pasti.

Sembilan bidang itu ialah guru, pemimpin sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, penguasaan pelbagai bahasa, peluang pendidikan lepasan menengah, ibu bapa dan komuniti, kecekapan dan keberkesanan sumber serta sistem penyampaian pendidikan.

Muhyiddin berkata kerajaan telah melantik dua panel bagi mengkaji hasil penilaian yang dijalankan Pejabat Pengurusan Projek.

"Satu di peringkat kebangsaan, kita dah lantik beberapa pakar dalam bidang pendidikan untuk beri input tentang aspek berkaitan pendidikan, dan pakar dari luar negara, kita telah lantik empat pakar dari beberapa negara yang tahu aspek pendidikan secara global," katanya.

Menjawab soalan tambahan Tiong sama ada kerajaan akan mengambil kira aspek pembangunan infrastruktur sekolah-sekolah di seluruh negara dalam Perancangan Strategik itu, Muhyiddin berkata perkara itu telahpun dimulakan dan tidak perlu menunggu sehingga laporan itu siap.

Katanya menurut laporan audit yang diterima oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, sebanyak 600 sekolah termasuk di Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti berada dalam keadaan yang amat daif.

"Daripada peruntukan pembangunan yang disediakan oleh Parlimen menerusi kelulusan kementerian, kita belanjakan sebahagian besar untuk pembangunan infrastruktur termasuk peruntukan khas yang diluluskan Parlimen atas ehsan Perdana Menteri sebanyak RM500 juta di mana RM200 juta bagi memberi tumpuan sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak," katanya.

Menjawab soalan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai keperluan memperkenalkan komponen peta minda pada sistem I-Think, Muhyiddin berkata ia perlu bagi melatih kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar sekolah.

"Ia tidak bermakna guru-guru tidak mahir...mereka terlatih. Hasil (projek ini) adalah pelajarnya...kemahiran berfikir mereka yang agak terbatas. Sebab itu kita cuba perkara ini dan maklum balas yang kita terima pelajar kata mereka lebih mudah faham dan lebih kreatif dalam perkara yang diajar," katanya.

Seramai 700 orang guru telah dilatih untuk mengendalikan sistem I-Think dan 10,000 murid terlibat dalam fasa rintis yang kini telah dilaksanakan di 10 sekolah.

Muhyiddin berkata guru-guru terlatih itu akan memberi bimbingan kepada guru-guru lain bagi membolehkan sistem itu dilaksanakan secara menyeluruh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan