MCA Gantung Mana-Mana Anggota Yang Cuba Sabotaj Parti

Diterbitkan: Khamis, 15 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA akan mengenakan tindakan menggantung mana-mana anggota yang didapati mensabotaj parti ketika parti itu meningkatkan persediaannya untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja sebelum Mac tahun depan.

Setiausaha agung parti Datuk Seri Kong Cho Ha berkata ini disebabkan MCA masih berdepan ancaman ekoran pertelingkahan dalaman dan sabotaj.

"Dalam usaha menghentikan politik dalaman, lebih-lebih lagi memandangkan pilihan raya umum semakin hampir, mana-mana anggota parti yang didapati mensabotaj parti akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin dan mereka boleh digantung selama enam bulan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini, parti itu belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara itu namun mereka akan memantau rapi perkara itu yang lazimnya berlaku setelah senarai calon diumumkan.

"Setakat ini kami belum menerima apa-apa aduan. Memanglah, pilihan raya belum diadakan lagi. Bagaimanapun, kami akan memantau keadaan untuk memastikan mereka memberi kerjasama, terutamanya di peringkat bahagian dan cawangan.

"Langkah ini untuk memastikan jentera pilihan raya kami lancar dan berjalan dengan betul," katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, MCA bertanding bagi 40 kerusi parlimen dan 90 kerusi dewan undangan negeri (DUN). Parti itu mencatatkan prestasi buruk apabila hanya memenangi 15 kerusi parlimen dan 31 kerusi DUN.

Antara alasan yang diberi berhubung prestasi buruk itu ialah sabotaj daripada anggota parti sendiri setelah beberapa penyandang tidak dicalonkan untuk bertanding semula oleh kepimpinan parti.

Selain itu, Kong turut menasihati mereka yang berhasrat menjadi calon supaya menggunakan saluran parti dan memaklumkan kepada kepimpinan parti jika mereka berminat untuk bertanding di kawasan pilihan raya tertentu, memandangkan senarai calon MCA akan diserahkan kepada perdana menteri oleh presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Biasalah untuk melobi atau menyuarakan minat dan hasrat. Namun begitu, kesudahannya anda perlu akur kepada arahan, merapatkan barisan dan bergerak sebagai satu pasukan selepas keputusan dibuat.

"Prinsip kami adalah pemimpin parti tidak seharusnya mengumumkan kerusi yang mereka ingin tandingi. Mereka perlu mematuhi disiplin parti. Ini berkaitan dengan prinsip," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan