Kilang Lynas Selamat Selagi Patuhi Peraturan Keselamatan - Pakar Nuklear

Diterbitkan: Rabu, 14 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kilang memproses nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Kuantan, Pahang selamat selagi syarikat itu mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan ke atasnya, kata bekas professor Teknologi Nuklear dalam Perubatan, Datuk Dr Proom Promwichit.

Beliau berkata, syarikat itu perlu memastikan pengendalian kilang tersebut berada pada tahap tertinggi bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini seperti kebocoran radiasi, berlaku di kilang itu.

"Seperti bawa kereta, selamat pun... yang penting cara pengendalian. Bila kilang itu beroperasi ia tidak mendatangkan impak kepada penduduk setempat. Tetapi bila ada kebocoran bahan radioaktif partikel sinar alfa, itu bahaya.

"Sinar alfa ini tidak macam sinar-x, ia tidak bahaya jika terdedah secara terus kepada kita. Namun bila sinar alfa ini masuk ke udara dan air kemudian masuk ke dalam tubuh, ia boleh jadi bahaya," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Pada 30 Januari lepas, Mesyuarat Ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom meluluskan permohonan lesen pengendalian sementara (TOL) Lynas dengan beberapa syarat, antaranya Lynas perlu mengemukakan semua aspek berkenaan kemudahan pelupusan kekal.

Dr Promwichit yang juga bekas pensyarah keselamatan reaktor Nuklear dan keselamatan sinaran, Universiti Kebangsaan Malaysia selama 23 tahun berkata, selain sinar alfa, bahan kimia yang digunakan dalam operasi kilang itu juga perlu diberi perhatian, terutama kaedah berkesan untuk melupuskan bahan sisa.

Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan berkata, AELB akan memberikan pengetahuan dan maklumat secukupnya kepada penduduk setempat bagi memastikan mereka memahami projek itu secara keseluruhannya. "Hasil pameran awam dokumen projek Lynas dan jawatankuasa perundingan awam, memang ramai penduduk tidak setuju tetapi mereka tidak setuju tanpa fakta, kenyataan atau alasan, mereka tidak setuju tanpa nyatakan sebab.

"AELB diberitahu jawatankuasa itu, pendapat begitu adalah politikal, bukan menentang berdasarkan fakta. Namun kita amat ambil berat pandangan orang awam, itu penting mereka dapat maklumat secukupnya," katanya. Beliau berkata, AELB akan menjemput lima pemantau antarabangsa datang ke negara ini sedikit masa lagi bagi mencadangkan kaedah terbaik bagi memantau projek tersebut.

"Panel penilai yang terdiri antaranya daripada AELB, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar akan memilih satu atau lebih pemantau yang mempunyai kaedah terbaik bagi menjalankan kerja pemantauan terhadap projek itu.

"Saya ingin tegaskan TOL diluluskan AELB hanya untuk tempoh dua tahun, jika dalam tempoh ini kita tidak puas hati, kita boleh hentikan operasi Lynas serta merta," kata Raja Abdul Aziz.

Beliau berkata setelah tempoh itu tamat, syarikat itu akan memohon semula lesen operasi mereka dan AELB akan mempertimbangkan sebaiknya permohonan itu berdasarkan pelbagai faktor seperti operasi dan keselamatan dalam tempoh itu.

Penolong Profesor Jabatan Pengurusan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Bakri Ishak berpendapat kerajaan tidak akan meluluskan mana-mana projek sewenang-wenangnya sehingga membelakangkan kepentingan rakyat di negara ini. Dr Mohd Bakri menasihatkan orang ramai agar jangan cepat melatah kerana kerajaan sudah mengenakan syarat ketat kepada kilang tersebut dan tidak akan memberi lesen untuk beroperasi melainkan kerajaan berpuas hati projek itu selamat.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah menjelaskan daripada segi fakta dan bukti saintifik, Lynas tidak membawa kemudaratan serta menetapkan supaya sisa bahan dibuang jauh dari tempat komuniti," katanya.

Dr Mohd Bakri mencadangkan supaya masyarakat setempat amnya diberi pendedahan serta maklumat yang sebenar mengenai projek tersebut supaya mereka tidak tersalah tafsir serta terikut-ikut dengan anasir-anasir negatif yang tersebar. "Pelbagai agensi perlu bekerjasama memberi penjelasan tentang Lynas dan apa yang jelas projek ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya pelajar yang sedang menuntut dalam bidang berkaitan di universiti," katanya.

Katanya, projek seperti ini mampu melonjakkan ekonomi negara serta memberi impak positif kepada rakyat tetapi menegaskan perlunya ada pemantauan secara berkala terhadap projek tersebut.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berkata, persatuan itu menyokong projek Lynas yang dilihat mampu memberi faedah kepada rakyat khususnya bumiputera dan pembangunan ekonomi negara.

"Saya mengalu-alukan projek yang memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara serta rakyat namun aspek keselamatan perlu diambil kira kerana kebajikan masyarakat setempat menjadi isu utama. Beliau meminta orang ramai supaya jangan hanya menerima pendapat negatif daripada pihak tertentu tentang kilang Lynas tetapi perlu melihat dari aspek positif. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan