"Saya Tak Akan Maafkan Dia" - Ibu Dirang

Diterbitkan: Selasa, 13 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Ibu kepada Nurul Nadhirah Abdullah, kanak-kanak yang disahkan dibunuh dan dibakar selepas hilang dari rumahnya hampir dua minggu lepas, tidak akan memaafkan orang yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

Roselyn Alan, 25, berkata dia berharap individu berkenaan dikenakan hukuman sama seperti kekejaman yang dilakukan terhadap anaknya yang berusia lima tahun itu.

"Saya tidak tahu kenapa dia sanggup buat anak saya sehingga macam itu. Anak saya masih kecil dan tidak tidak tahu apa-apa. Saya tidak akan maafkan dia dan saya mahu dia rasa apa yang anak saya rasa," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan takziah dari Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan isteri, Datin Bibi Zakiah Meraslam, di rumahnya di Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, pada Selasa.

Menurut Roselyn, hatinya berasa amat sakit sejak menerima panggilan pengesahan dari polis petang semalam dan masih tertanya-tanya punca yang menyebabkan anaknya diperlakukan sedemikian rupa.

"Saya bukan kaya, kalau minta duit sekalipun saya memang tiada duit. Musuh pun saya tidak ada," katanya.

Roselyn berkata, beliau tidak dapat tidur dan tidak lalu makan sejak Nurul Nadhirah yang mesra dipanggil Dirang, didapati hilang dan telah berusaha mencarinya dari pukul 8 pagi setiap hari sehingga malam dengan menaiki kereta di sekitar bandar.

Menyifatkan Dirang sebagai seorang anak yang baik dan tidak cerewet, Roselyn berkata dia pasti teringatkan Nurul Nadhirah setiap kali mahu membancuhkan susu untuk anak bongsunya, Ainul Suhada Abdullah, yang baru berusia dua bulan.

Katanya, sebagai kakak, Nurul Nadhirah sangat menyayangi adik perempuannnya dengan sentiasa memberikan ciuman serta memilihkan pakaian berwarna merah jambu.

Nurul Nadhirah juga gemar mewarnai buku dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, katanya.

"Dirang selalu minta susu dan makanan. Dia selalu peluk dan kami tidur bersama-sama setiap malam. Sebelum dia hilang, dia sempat makan sebungkus roti dan memeluk saya sambil bertanya sama ada saya sayangkan dia atau tidak," katanya.

Roselyn berkata, Nurul Nadhirah turut meminta dibelikan sebuah buku sebelum kehilangannya, bagaimanapun, dia tidak sempat memenuhi permintaan anaknya itu.

Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai, dekat sini, pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat hasil ujian DNA daripada Jabatan Kimia.

Nurul Nadhirah hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya itu.

Polis kini menahan reman empat individu termasuk seorang wanita sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan