RM1.92 Bilion Diagih Kepada 3.8 Juta Rakyat Melalui BR1M - Najib

Diterbitkan: Selasa, 13 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.92 bilion telah diagihkan kepada 3.8 juta isi rumah di seluruh negara melalui program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga 1 Mac lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Selangor merupakan negeri penerima bantuan tertinggi iaitu hampir 13 peratus daripada keseluruhan wang yang diagihkan, manakala Kelantan pula mencatatkan peratusan isi rumah tertinggi yang menerima bantuan iaitu hampir 84 peratus.

"Sehingga 1 Mac, pendaftaran yang diterima adalah sebanyak 4.78 juta. Permohonan yang berjaya adalah 3.74 juta atau hampir 80 peratus, manakala permohonan yang tidak berjaya adalah sebanyak 972,000 atau hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan.

"Daripada 200,000 rayuan yang diterima, hampir 92 peratus telah diluluskan setelah mereka mengemukakan permohonan yang lengkap," katanya menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang bertanya mengenai perkembangan pelaksanaan program BR1M.

Menerusi BR1M, setiap isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan diberi bantuan "one-off" sebanyak RM500.

Najib menjelaskan wang yang diagihkan untuk program BR1M ditampung melalui kutipan hasil dan bukannya melalui sumber pinjaman seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Kejayaan program BR1M adalah hasil kekuatan ekonomi, kemampuan urus tadbir ekonomi negara dengan baik dan cekap. Kerajaan sentiasa pastikan penggunaan hasil dan perbelanjaan negara secara baik dan berhemah serta memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Tiong sama ada kerajaan akan meneruskan program BR1M pada tahun-tahun akan datang, Najib berkata komitmen kerajaan setakat ini adalah bantuan secara "one-off" tetapi jika kemampuan kerajaan dan hasil negara bertambah, pemberian seterusnya boleh dipertimbangkan mengikut keadaan.

Katanya kerajaan secara keseluruhannya berpuas hati dengan perjalanan program itu, dan akan mengadakan post-mortem bagi melihat mana-mana kaedah yang memerlukan tambah baik sekiranya program itu mahu dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai kesediaan kerajaan melanjutkan tempoh rayuan yang dijadual tamat Khamis ini bagi memberi peluang rakyat yang tinggal di pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak untuk membuat rayuan, Najib berkata kerajaan bersedia melanjutkan tempoh itu.

"Tarikh penyampaian BR1M kita ambil sikap yang anjal. Yang penting ialah (semua penduduk yang layak) di pedalaman semua dapat.

"Kalau kita terpaksa lanjut, kita akan buat sebab ada kawasan di Sabah dan Sarawak yang begitu jauh dan perlu sedikit masa. Rayuan patut habis 15 Mac (Khamis ini) tapi boleh dipanjangkan supaya rayuan dapat diteliti sebaiknya," kata Perdana Menteri.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan