'Kenapa Biarkan Anak Saya Mati?' - Roselyn

Diterbitkan: Selasa, 13 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Roselyn yang pengsan ditenangkan oleh sanak saudara dan jiran terdekat.
Roselyn yang pengsan ditenangkan oleh sanak saudara dan jiran terdekat.

JOHOR BARU: 'Kenapa biarkan anak saya mati?'.

Begitulah raungan ibu Nurul Nadirah, Roselyn Alan sebaik saja mengetahui berita bahawa mayat rentung yang ditemui polis di sebuah ladang sawit di Nusa Damai, Pasir Gudang di sini 8 Mac lalu adalah kanak-kanak itu.

Berpakaian kemeja-T berwarna ungu dan berseluar jean, Roselyn yang duduk di bilik tidur tidak berhenti-henti menangis.

Malah dia turut pengsan seketika manakala anggota keluarga cuba untuk menenangkannya.

Bapa tiri Dirang, Lima Medeng, 25, terlalu sedih dan terkejut dengan berita itu dan enggan ditemu bual pemberita.

Nenek Dirang, Milnah Jul, 56, berkata, dia kembali ke Pasir Gudang selepas mencari cucunya itu apabila dimaklumkan oleh polis mengenai perkembangan tersebut pada pukul 6.40 petang.

"Kami menerima panggilan daripada seseorang yang mengatakan mereka terlihat Dirang di Pasir Gudang, jadi saya yang ditemani beberapa orang jiran bergegas ke situ.

"Saya tidak percaya bahawa kami sudah kehilangannya," katanya.

Seorang jiran keluarga itu, Noridah Juliri, 44, berkata penduduk di kawasan itu terkejut dan bersedih dengan kejadian itu.

"Dia kanak-kanak periang yang suka bercakap. Kali terakhir saya melihatnya sebelum dia membeli mi di kedai runcit di bawah.

"Dia memberitahu saya bahawa dia ingin makan mi sebelum pergi ke sekolah agama. Saya boleh membayangkan perasaan ibu Dirang," katanya.

Terdahulu, Roselyn memberitahu dia menerima panggilan telefon daripada beberapa wanita yang tidak dikenali yang meminta wang tebusan sebanyak RM10,000 dan mengancam untuk mencederakan Nurul Nadirah jika mereka enggan mengikut permintaan itu.

"Dia memberitahu saya untuk menyerahkan wang itu di Kota Baru atau mereka akan mencederakan Dirang.

"Ketika ditanya meminta untuk mendengar suara Dirang, mereka menyuruh saya supaya membayar wang tebusan sebelum panggilan dimatikan," katanya.

Sementara itu, berita kematian Dirang disebarkan secara meluas di laman Twitter dengan pelbagai kiriman ucapan takziah kepada keluarganya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin antara yang mengirimkan ucapan takziah menerusi Twitternya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan