Jawatankuasa Pemandu PAS Disifatkan Karut- ADUN Gurun

Diterbitkan: Selasa, 13 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Gurun Dr Leong Yong Kong membantah penubuhan sebuah jawatankuasa oleh PAS untuk memantau pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan menyifatkannya sebagai satu konsep "mengarut".

Wakil rakyat Barisan Nasional daripada MCA itu berkata urusan pentadbiran negeri seharusnya dirujuk oleh Menteri Besar kepada Sultan Kedah dan bukannya kepada jawatankuasa itu.

"Sebagai seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah, saya membantah sepenuhnya langkah tidak berperlembagaan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

PAS semalam mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman daripada parti itu bagi mengetuai jawatankuasa berkenaan, yang dibentuk oleh PAS sebagai satu jalan penyelesaian kepada krisis kepimpinan dalam pentadbiran negeri Kedah yang diterajui parti itu.

Ia ekoran tindakan dua anggota exco kerajaan negeri daripada PAS untuk dilantik semula kerana dilaporkan tidak yakin dengan kepimpinan Azizan. Kedua-duanya bagaimanapun bersetuju menerima pelantikan itu selepas campur tangan PAS pusat.

Dr Leong berkata jawatankuasa itu dianggotai individu dari luar Kedah dan ini tidak seharusnya berlaku.

"Ianya satu konsep yang benar-benar mengarut," katanya.

Dr Leong juga mempersoalkan kenapa DAP dan Parti Keadilan Rakyat yang merupakan rakan PAS dalam pakatan pembangkang tidak membantah penubuhan jawatankuasa itu yang tidak mempunyai sebarang wakil daripada kedua-dua parti berkenaan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan