Akta Baru Ganti ISA Fokus Lima Elemen Penting

Diterbitkan: Isnin, 12 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bakal memberi penekanan kepada lima elemen penting khusus bagi memberi ruang yang lebih adil kepada individu yang ditahan di bawah akta berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara lima elemen penting yang ditekankan ialah mengenai tempoh tahanan, layanan terhadap mereka yang ditahan, hubungan dengan keluarga mereka yang ditahan serta satu proses untuk membuat rayuan dalam masa tertentu.

"Itu semua akan diambil kira, saya percaya dalam pengubalan undang-undang yang akan digubal oleh Peguam Negara, ia merupakan perkara-perkara pokok. Kalau tidak ia hanya akan menjadi hujah politik pembangkang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan akan membentangkan dua rang undang-undang baru yang akan menggantikan ISA pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata, dua undang-undang berkenaan masih berada diperingkat kajian oleh Peguam Negara.

"Saya belum tengok lagi draf tersebut, sudah tentu ia akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen," katanya.

Sebelum ini Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail memberi jaminan bahawa kedua-dua undang-undang baru itu akan melindungi hak asasi manusia bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga hak agensi penguatkuasa kerajaan semasa melindungi keselamatan negara.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan