Rafizi Puji, Puas Hati Tindakan Shahrizat Berundur

Diterbitkan: Ahad, 11 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memuji tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat pada April.

Katanya, pengumuman yang dibuat Shahrizat pada Ahad, adalah satu langkah tepat setelah PKR mengaitkan beliau dengan beberapa dakwaan dan pendedahan berhubung isu penyelewengan dalam Perbadanan Fidlot Nasional (PFN).

"Terima kasih dan tahniah kepada beliau kerana membuat tindakan tepat. Saya puji dan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat," katanya kepada mStar Online, Ahad.

Menurut Rafizi, keputusan Shahrizat berundur dari kabinet menunjukkan bahawa beliau telah memahami kehendak dan harapan rakyat Malaysia terhadap seseorang yang memegang status sebagai menteri.

"Akhirnya beliau faham kehendak rakyat dan harapan masyarakat awam bahawa menteri dan penjawat awam harus memberi imej yang bersih," katanya.

Keputusan pengunduran ini juga secara tidak langsung kata beliau, mengesahkan bahawa pendedahan dan dakwaan PKR berkaitan penyelewengan dana RM250 juta dalam PFN selama ini adalah betul dan tepat.

"Kalau tak betul, beliau tak akan letak jawatan...mustahil tiba-tiba akan berundur.

"Ini juga membuktikan tuduhan Umno bahawa kita mempolitikkan isu PFN adalah tidak benar," tegasnya.

Shahrizat, dalam kenyataan sebelum ini bagaimanapun menafikan keputusannya diambil ekoran tekanan mana-mana pihak ataupun disebabkan isu PFN.

Rafizi menjelaskan, isu PFN yang dibongkarkan PKR bukan isu politik tetapi menjadi isu rakyat kerana melibatkan dana awam dan wang rakyat.

Beliau berkata, selagi isu ini tidak diselesaikan dengan adil dan sewajarnya, pihaknya akan terus membuat pendedahan yang dirasakan perlu.

"Peletakan jawatan tidak akan padamkan isu ini. Kita akan terus beri perhatian terhadap skandal dalam PFN dan juga isu-isu lain melibatkan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata tumpuan sekarang akan diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan perkara ini.

Katanya, Najib harus menunjukkan komitmen politik dengan memastikan dana pinjaman sebanyak RM250 juta untuk projek ternakan lembu fidlot dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat.

"Tanggungjawab kini terletak di bahu Datuk Seri Najib kerana beliau adalah perdana menteri. Beliau juga orangnya yang meluluskan pinjaman kepada PFN.

"Selain memperolehi semula RM250 juta, semua yang terbabit dalam isu ini perlu disiasat dengan telus dan dibawa ke muka pengadilan," ujar beliau.

Ditanya sama ada beliau dapat menduga tindakan Shahrizat meletak jawatan beliau menjawab:

"Ianya di luar dugaan saya kerana tanggungjawab PKR ialah memaklumkan kepada rakyat tentang apa yang berlaku.

"Keputusan...mereka (yang terlibat) yang buat dan akan dihakimi sendiri oleh rakyat," katanya.

Isu PFN mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan PFN gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Ia semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada PFN.

Manakala isu peletakan jawatan Shahrizat pula timbul apabila beliau 'terheret' dalam PFN yang diterajui suaminya Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail dan anak-anak.

PFN ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan