Usah Buat Spekulasi Kenaikan Harga Barangan - Ismail Sabri - Berita Semasa | mStar

Usah Buat Spekulasi Kenaikan Harga Barangan - Ismail Sabri

Diterbitkan: Sabtu, 10 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi kenaikan harga barang susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

Katanya perbuatan sedemikian hanya akan menimbulkan kesan buruk kepada semua pihak termasuk pengguna dan peniaga sendiri.

"Sejak kerajaan umumkan kenaikan gaji kakitangan awam sehingga kini masih belum ada laporan kenaikan harga barangan, kalau boleh jangan buat spekulasi (kenaikan harga), itu hanya boleh merosakkan kita.

"Contohnya jika ada spekulasi harga barang tertentu naik, kita bimbang ada peniaga yang percaya dan kemudian menyorokkan barangan terbabit. Bila barangan keperluan terbabit berkurangan sedangkan permintaan tinggi, itu yang ada pihak mula menaikkan harga," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Beliau sebelum itu merasmikan Koperasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang turut dihadiri Naib Canselor UMP Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Ismail Sabri berkata pengguna perlu memainkan peranan apabila mengetahui ada barangan keperluan di kawasan masing-masing yang dijual pada harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan.

"Pengguna perlu melindungi kepentingan mereka sendiri dengan perlu melaporkan kepada kementerian di talian bebas 1 800 886 800 sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga barangan.

"Pengguna jangan hanya diamkan diri sekiranya perkara ini berlaku di kawasan tempat tinggal masing-masing.

"Bekerjasama dengan pihak kementerian dan maklumkan masalah kepada kami kerana kadang kala ada kawasan yang tidak sempat dikunjungi pegawai pemantau harga," katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga yang menaikkan harga barangan mengikut Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementeriannya mensasarkan lebih banyak kedai runcit di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menjual produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Katanya setakat ini lima institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjual produk KR1M iaitu di Universiti Malaya, UMP, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Sunway University. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan