Najib Umum Peruntukan RM20 Juta Untuk Pasar Baru Di Kampung Melayu Majidee

Diterbitkan: Jumaat, 9 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan tinjauan mesra di Kampung Melayu Majidee, di sini pada Jumaat memberikan berita gembira buat penduduk kampung itu apabila mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi pembinaan sebuah pasar baru.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke bandar raya ini membuat pengumuman itu selepas kira-kira sejam melawat dan beramah mesra dengan peniaga di pasar itu dan kawasan perniagaan di perkampungan itu.

Sebelum melakukan tinjauan mesra itu, Najib yang tiba di Kampung Melayu Majidee kira-kira pukul 1.20 tengah hari, terlebih dahulu menunaikan solat Jumaat di masjid kampung berkenaan dengan diiringi Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Anggota Parlimen Johor Baharu Datuk Shahrir Abdul Samad, anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.

Selepas selesai menunaikan solat, Perdana Menteri turut menikmati hidangan nasi ambang dengan duduk bersila bersama-sama rakyat dan kemudiannya menyampaikan replika kunci van jenazah kepada Badan Kebajikan Melayu Islam kampung berkenaan.

Perdana Menteri dan rombongannya mengakhiri tinjauan mesra itu dengan singgah di Restoran Warisan Teratak Bonda dan menikmati hidangan murtabak.

Dalam ucapan ringkas di restoran berkenaan, Perdana Menteri berkata beliau berasa gembira dengan suasana ceria orang ramai yang menyambut kedatangannya dan yakin perkampungan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional.

Beliau berkata penduduk di situ wajar menerima sebuah pasar baru memandangkan keadaan pasar itu yang ketika ini sudah uzur.

"Saya dibawa lalu ke pasar yang sudah uzur dan daif rupanya ada "udang di sebalik batu" (secara berseloroh). Patut tidak payah lalu, tapi Datuk Shahrir bawa untuk saya pertimbang peruntukan sebuah pasar baru.

"Sepanjang perjalanan tadi, Datuk Shahrir ada bisik-bisik, maka saya luluskan pasar baru untuk kampung ini dengan peruntukan RM20 juta," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Shahrir dalam ucapannya berkata sebuah pasar baru amat diperlukan memandangkan pasar itu sudah berusia lebih 20 tahun dan tidak sesuai dengan persekitaran semasa.

Sementara itu, peniaga ayam di pasar itu, Abdul Aziz Ashaari, 48, berkata peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri memberikan seribu rahmat buat para peniaga.

"Kita menunggu pembinaan pasar baru ini sejak 10 tahun lepas. Sebelum ini ianya hanya sekadar 'cakap-cakap' tetapi hari ini sudah menjadi kenyataan apabila diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri," katanya.

Osman Hamzah, 30, pula berkata pembinaan pasar baru itu akan memberikan keselesaan kepada peniaga dan pelanggan.

"Saya berharap pembinaan pasar baru akan membuatkan orang ramai terus mengunjungi pasar ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan