Pembangkang Sambut Baik Pembatalan SBPA

Diterbitkan: Khamis, 8 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pembangkang menyambut baik keputusan kerajaan membatalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang disifatkan sebagai kemenangan besar kepada penjawat awam.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pembatalan tersebut berjaya menamatkan kerisauan kumpulan kakitangan awam yang merasakan diri mereka dipinggirkan melalui pengenalan skim SBPA sebelum ini.

"Akhirnya penjawat awam berjaya mendesak kerajaan memansuhkan sistem berkenaan yang ternyata tidak menguntungkan kakitangan peringkat bawahan.

"Tahniah juga kepada Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) yang berusaha membela nasib kakitangan awam," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terbaru apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan sistem SBPA yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu dibatalkan dan sistem saraan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Malah Najib turut mengumumkan penubuhan suruhanjaya yang dianggotai oleh semua pihak berkepentingan yang bekerja bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Salahuddin berkata, sudah sampai masanya kerajaan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum memperkenalkan sesuatu sistem baru ataupun dalam mengkaji setiap cadangan penambahbaikan.

"Jadikan SBPA sebagai contoh, tindakan terburu-buru hanya akan merugikan pihak yang terbabit. Jadi kerajaan perlu melakukan konsultasi dengan semua pihak sebelum melaksanakan apa-apa cadangan.

Sementara itu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata penambahbaikan SSM perlu diselaraskan bagi merapatkan jurang pendapatan kumpulan penjawat awam peringkat terendah dengan yang lebih tinggi.

Katanya, penyelarasan gaji bagi golongan berkenaan hendaklah dibuat bagi membolehkan mereka menerima gaji sara hidup sekurang-kurangnya RM1,100 sebulan.

"SSM perlu mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti.

"Skim SSM yang lebih adil dan saksama hendaklah mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan. Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji sara hidup atau living wage, dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan