NKRA Pengangkutan Awam Mampu Tampung 600,000 Penumpang Di Lembah Klang

Diterbitkan: Khamis, 8 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mahu penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang mencapai tahap 25 peratus atau 600,000 penumpang pada waktu puncak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, inisiatif untuk Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Negara bermula sejak dua tahun lepas dan pada hari ini, sistem pengangkutan awam Lembah Klang dipermodenkan dengan penerimaan 38 set tren komuter canggih untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang digelar MyKomuter.

"Usaha berterusan Kementerin Pengangkutan terutamanya Unit NKRA dan KTMB dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam khususnya rel mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kepentingan pengangkutan awam negara," katanya ketika berucap semasa perasmian set MyKomuter yang mula beroperasi dari KL Sentral pada Khamis.

Pada masa ini, penggunaan KTM Komuter pada waktu puncak mencapai 1.4 kali had kapasiti penumpang di mana koc komuter itu sendiri hanya mampu membawa 150 penumpang tetapi terpaksa mengangkut 200 penumpang pada satu-satu masa.

"Ini menyebabkan ketidakselesaan kepada penumpang dan turut membawa kepada beberapa masalah lain antaranya penyelenggaraan, kelewatan dalam jadual dan pembatalan perkhidmatan. Akibatnya, pengguna memilih kenderaan persendirian sebagai mod pengangkutan untuk melakukan tugas harian mereka terutamanya pada waktu puncak antara pukul 7 hingga 9 pagi," katanya.

Untuk membolehkan rakyat hidup selesa, kerajaan BN telah melabur sebanyak RM1.9 bilion untuk memperoleh 38 set MyKomuter yang serba canggih dengan kemasukkannya ke dalam perkhidmatan KTMB bermula secara berperingkat, katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif ini tidak akan berhenti di Lembah Klang sahaja malah penambahbaikkan pengangkutan awam akan dibuat di seluruh negara.

"Sehingga hari ini, kerajaan Malaysia telah menerima 16 set MyKomuter dari China dengan empat daripadanya telah menjalani ujian keselamatan yang amat ketat di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan baki 12 tren lagi sedang menjalani Pengujian dan Pertauliahan," katanya.

Kesemua tren berkenaan melepasi tahap piawaian ketat di bawah agensi pertaulihan antarabangsa iaitu TUV (Technical Inspection Association), katanya.

Sejarah pengangkutan rel negara yang bermula untuk mengangkut hasil lombong dan pertanian pada zaman British dan ketika tanah ini bergelar Tanah Melayu, sistem rel negara telah mengalami perkembangan pesat dengan kemampuan membawa kargo pada kos yang murah serta selamat, katanya.

"Saya memohon orang ramai agar bersabar kerana semasa pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, orang ramai sudah pasti akan mengalami pelbagai kesukaran namun apabila pembangunan infrastruktur ini siap sepenuhnya, rakyat akan dapat menikmati keselesaan dan kualiti hidup yang lebih baik," katanya.

Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan MyKomuter yang dibuat selaras dengan gagasan 1Malaysia, akan menerima kupon percuma bernilai RM2 yang boleh digunakan untuk tempoh enam bulan bagi menaiki tren itu mulai hari ini, kata Muhyiddin.

Untuk kemudahan rakyat, kata beliau, KTMB turut memberi diskaun 50 peratus bagi pembelian tiket mingguan dan perjalanan percuma untuk pelajar yang memakai pakaian seragam sekolah, Orang Kelainan Upaya dan warga emas selama enam bulan. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan