250 Wanita Dilatih Jadi Anggota Lembaga Pengarah Tahun Ini - Shahrizat

Diterbitkan: Khamis, 8 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mensasarkan 250 lagi wanita dilatih dalam program perintis anggota lembaga pengarah wanita menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkara itu dilaksana menerusi agensi di bawah kementerian iaitu Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NIEW).

Setakat ini, seramai 25 peserta telah menjalani latihan itu yang berlangsung dari 22 hingga 25 Februari lepas, selaras dengan polisi kerajaan agar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita berada di peringkat pembuat keputusan sektor korporat menjelang 2016, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Shahrizat berkata, peserta akan dilengkapkan dengan kemahiran kritikal agar mereka dapat menjalankan tugas secara efektif melalui kurikulum berstruktur yang dirangka NIEW termasuk penilaian kesediaan lembaga pengarah secara online, latihan bimbingan, latihan teknikal serta kemahiran insaniah.

"Setelah menjalani latihan, mereka yang dipilih akan menjalani penilaian simulasi untuk menentukan kesediaan mereka menjalankan tugas sebagai anggota lembaga pengarah," katanya yang ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2012 di Universiti Multimedia.

Katanya, kementerian itu juga merancang untuk memperluaskan program tersebut pada masa akan datang.

Kementerian itu juga katanya, dijangka melancarkan daftar anggota lembaga pengarah wanita pada 12 Mac ini, yang akan menyenaraikan nama peserta yang telah menjalani latihan tersebut.

Senarai itu boleh digunakan syarikat untuk memilih mereka yang sesuai dilantik sebagai anggota lembaga pengarah, katanya.

Shahrizat berkata, sejak polisi itu digubal, beberapa syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sudah secara sukarela melantik wanita sebagai anggota lembaga pengarah mereka antaranya Maybank.

Sementara itu, ketika berucap pada sambutan bertema "Connecting Girls, Inspiring Futures", Shahrizat berkata, wanita muda perlu bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang.

"Mereka mesti belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar impian dan tidak mudah berputus asa dengan setiap cabaran yang dihadapi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan