PRU-13: Zaid Umum Tanding Di KB Atas Tiket Kita

Diterbitkan: Rabu, 7 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Datuk Zaid Ibrahim pada Rabu, mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di kerusi Parlimen Kota Baharu, Kelantan.

Katanya, beliau akan bertanding di atas tiket parti Kita, bukan untuk parti PAS atau DAP seperti yang didakwa banyak pihak sebelum ini.

"Saya nak umumkan bahawa saya akan bertanding di Kota Baharu. Saya sudah buat keputusan bersama ahli jawatankuasa pusat.

"Saya tak akan bertanding untuk parti lain. Saya ada parti sendiri. Banyak dasar mereka (parti) yang bertentangan dengan parti Kita," katanya dalam satu sidang media khas yang diadakan di kediamannya, dekat sini, Rabu.

Jelas Zaid, adalah mustahil untuk beliau bertanding atas tiket parti lain kerana beliau tidak pernah meminta kepada mana-mana parti untuk menjadi ahli atau menjadi calon untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Mustahil. Saya tak akan bertanding di sebuah parti yang saya sendiri tidak dapat sokong dasarnya.

"Saya tak pernah bincang dgn PAS, dengan Anwar atau dengan DAP," tegasnya sambil menambah parti Kita yang telah setahun ditubuhkan itu berbeza dengan parti-parti lain kerana mempunyai dasar yang lebih maju, progresif dan ke hadapan.

Menurut Zaid, beliau mengambil keputusan bertanding di Kota Baharu setelah melihat kemampuan dan mempunyai peluang yang besar untuk menang berbanding PAS dan Umno.

Malah, Zaid turut menyatakan keyakinannya untuk meraih banyak undi memandangkan beliau mempunyai banyak pengalaman di kawasan berkenaan.

"Banyak sebab. Calon PAS dan Umno pun tak begitu menyerlah, pengalaman pun tak ada. Dan mereka mereka sendiri pun tak ada banyak jasa seperti saya di Kota Baharu.

"Saya yakinlah. Saya orang lama di sana, saya rasa saya lebih baiklah dari yang 'dua' (parti) itu.

"Jadi lazimnya kalau calon lebih baik sepatutnya dia menanglah," katanya.

Jika beliau benar bertanding di Kota Baharu, ini bermakna, Zaid akan bertanding di situ bagi kali yang kedua.

Beliau pertama kali bertanding di Kota Baharu pada pilihan raya 2004 atas tiket Barisan Nasional (BN) dan menang.

Kemenangan tersebut amat bermakna untuk BN kerana ia adalah yang pertama selepas 12 tahun.

Ketika itu Zaid adalah ketua Umno Bahagian Kota Baharu.

Bagaimanapun pada pilihan raya yang lepas, Zaid digugurkan dan BN mencalonkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh sebagai calon.

Namun Fatmi tewas kepada calon PAS.

Dalam sidang media yang sama, Zaid turut mengumumkan, Kita akan meletakkan calon-calon berpotensi di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen hampir di seluruh negara pada PRU-13.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Kota Baharu ini berkata beliau lebih gemar meletakkan lebih ramai calon bertanding di kerusi Parlimen berbanding DUN.

Ini kerana, katanya, matlamat utama calon Kita bertanding ialah untuk menyampaikan dasar-dasar parti kepada rakyat, bukan untuk 'memecahkan' undi parti-parti tertentu.

"Memang Kita akan bertanding, tapi seperti yang kita jelaskan dulu Kita adalah parti pembangkang tetapi kita juga bukan parti pakatan, Kita adalah bebas, ada pendirian dan dasar-dasar kita.

"Kita tak akan bertanding untuk pecahkan undi orang lain, tapi bertanding bila rasa ada peluang untuk menang," jelas beliau.

Zaid berkata, sehingga kini Kita akan meletakkan calon di beberapa negeri termasuklah di Johor, Pahang, Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan