Isu NFCorp: Zuraida & Rafizi Kemukakan Pembelaan Jumaat Ini

Diterbitkan: Rabu, 7 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi Mohd Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp).

Tuntutan pembelaan tersebut akan didengar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Jumaat ini.

"Saya dan Rafizi telah berbincang secara mendalam mengenai strategi pembelaan kami sekiranya tuntutan saman ini diteruskan oleh Shahrizat selepas mahkamah mendengar pembelaan yang akan dikemukakan Jumaat ini.

"Kami bercadang untuk memanggil kesemua pemimpin kanan negara yang pernah terlibat dalam keputusan berhubung NFC sebagai saksi untuk memberikan keterangan.

"Saya juga yakin Shahrizat akan dipanggil menjadi saksi dan disoal siasat. Ini akan menimbulkan persoalan besar sama ada keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap Zuraida dan Rafizi berhubung isu NFC.

Shahrizat menuntut ganti rugi am disebabkan fitnah secara lisan yang memudaratkan berjumlah RM50 juta serta ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM50 juta.

Menerusi writ saman tersebut, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia memohon perintah injuksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada terus membuat sebarang pernyataan atau kenyataan secara bertulis terhadapnya berkaitan NFC atau syarikat-syarikat bersekutunya.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang difailkan, Shahrizat sebagai plaintif tidak pernah memiliki sebarang ekuiti mahupun memegang jawatan sebagai pengarah di NFCorp, Agro-Science Industry Sdn Bhd atau mana-mana syarikat bersekutunya.

NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail manakala Agro-Science Industry Sdn Bhd adalah syarikat induk yang memiliki hampir kesemua saham terbitan Perbadanan Fidlot Nasional atau NFCorp dengan satu saham 'preference' dipegang kerajaan Malaysia.

Pada 2006, Kementerian Pertanian menganugerahkan pengurusan projek Fidlot Nasional kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd dan Lamberts Agriculture Trade Sdn Bhd.

Bagaimanapun Lamberts Agriculture Trade Sdn Bhd manarik diri dan projek berkenaan hanya dianugerahkan kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd melalui NFCorp.

Dinyatakan juga bahawa keputusan atau isu penganugerahan projek ini tidak pernah dibawa ke kabinet dan oleh itu Shahrizat tidak menyertai atau mempengaruhi proses penganugeahan projek.

Penyataan tuntutan itu juga menyebut bahawa Shahrizat tidak mempengaruhi Kementerian Pertanian atau jawatankuasa khas untuk projek berimpak tinggi dalam proses pemilihannya.

Shahrizat juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam NFCorp dan juga tidak memainkan sebarang peranan di dalam proses penganugerahan projek ini kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang serta Rafizi telah dikatakan secara konsisten melancarkan satu kempen untuk menyerang dan memfitnah Shahrizat sejak November 2009 selaku Ketua Pergerakan Wanita Umno, menteri dan beliau sendiri sebagai seorang individu.

Akibat daripada pelbagai tuduhan dan fitnah, Shahrizat telah menjadi bahan cemuhan dan tohmahan orang ramai, rakyat, ahli-ahli parti serta ahli kerajaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan