Pelancong India Maut Dalam Nahas Bas Di Genting Highlands

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TERUK... Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa bas yang membawa pelancong warga India selepas terbabit dalam kemalangan di KM4.5 Lebuhraya Genting Highland-Kuala Lumpur, Isnin. Foto BERNAMA.
TERUK... Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa bas yang membawa pelancong warga India selepas terbabit dalam kemalangan di KM4.5 Lebuhraya Genting Highland-Kuala Lumpur, Isnin. Foto BERNAMA.

GENTING HIGHLANDS: Percutian 22 pelancong dari India bertukar tragedi apabila bas yang dinaiki mereka merempuh pembahagi jalan dan terhumban ke laluan bertentangan, mengakibatkan dua terbunuh dan ramai lagi cedera parah.

Penumpang Anita Aggarwal, 59, mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala manakala Rajendra Ku-mar Agurwal, 67, disahkan meninggal dunia sewaktu tiba di Hospital Kuala Lumpur.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai pertalian saudara.

Difahamkan, bas yang disewakan khas itu membawa para penumpang dari Punjab meninggalkan Genting Highlands resort kira-kira pukul 8 pagi Isnin dan bas tersebut tidak terkawal sewaktu menuruni bukit.

Bas itu dipercayai akan menuju ke Kuala Lumpur sebelum ke destinasi seterusnya di Singapura.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemandu bas dikatakan melalui selekoh tajam pada Kilometer 4.5 di Lebuhraya Genting-Karak di mana dipercayai gagal mengawal pemanduan dan merempuh pembahagi jalan.

“Kesannya mengakibatkan bas berkenaan terhumban ke lorong bertentangan sebelum terbabas dan berhenti di tengah-tengah jalan,” katanya.

Difahamkan, para penumpang terperangkap di dalam bas berikutan bumbung kenderaan itu remuk teruk ke bahagian dalam.

Sebahagian penumpang berjaya merangkak keluar menerusi pintu kecemasan di bahagian bumbung.

Para penumpang yang terperangkap hanya diselamatkan apabila anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba dan memotong beberapa bahagian bas.

Ambulans bergegas membawa mereka yang cedera parah ke hospital di Kuala Lumpur, Bentong dan Selayang untuk rawatan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan