Ng Yen Yen Ketuai Delegasi Malaysia Ke ITB Di Jerman

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen akan mengetuai delegasi Malaysia ke Pameran Pelancongan Antarabangsa (ITB) di Berlin, Jerman yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu di sini, penyertaan kali ke-38 ini menunjukkan fokus negara ini dalam menarik lebih ramai pelancong dari Eropah ke Malaysia.

Kehadiran pelancong Jerman ke negara ini memberangsangkan dengan 124,670 orang direkodkan pada tahun lepas, kata kenyataan itu.

Delegasi terdiri daripada 57 organisasi termasuk dari sektor perhotelan, agensi pelancongan, syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan wakil dari lapan kerajaan negeri.

Ng dijadual melancarkan Malaysia Pavilion esok dan mempromosikan beberapa produk pelancongan utama negara seperti taman tema tertutup kanak-kanak KidZania, KLCC/Bukit Bintang Walkway, Johor Premium Outlet, Legoland Malaysia serta persidangan tahunan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) 2012 yang akan berlangsung di Malaysia pada April ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan