Jawatankuasa Pemandu PAS Bukan Ambil Alih Kuasa MB

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mustafa Ali.
Mustafa Ali.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan oleh parti itu bukan bertujuan untuk mengambil alih kuasa menteri besar.

Beliau berkata, ini kerana kuasa tertinggi di sesebuah negeri adalah Majlis Mesyuarat Kerajaan atau exco yang dipengerusikan oleh menteri besar atau ketua menteri manakala di peringkat pusat pula jemaah menteri atau kabinet yang dipengerusikan perdana menteri.

“Tiada jawatankuasa apapun yang boleh mengatasi kuasa exco dan kabinet. Ia (jawatankuasa pemandu) hanya bersifat penasihat dalam hal-hal yang perlukan pandangan pimpinan berkaitan dengan perancangan dan program yang dibuat.

“Oleh itu, penubuhan jawatankuasa pemandu ini tiada kaitan untuk ambil alih kuasa menteri besar dan sememangnya tiada kuasa untuk campur tangan pentadbiran negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

PAS Pusat pada Isnin mengumumkan untuk mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu untuk memberi pandangan kepada kerajaan negeri yang diterajui PAS atau di mana pentabirannya merupakan sebahagian daripada parti itu.

Mustafa berkata, jawatankuasa itu juga bukan khusus untuk menasihati individu tertentu dalam pentadbirannya tetapi kepada semua yang memerlukan pandangan pimpinan parti.

“Contohnya PAS telah mula menubuhkan jawatankuasa pemandu ini pada tahun 1990 apabila PAS menang semula di Kelantan.

“Saya ketika itu dilantik sebagai salah seorang anggota jawatankuasa pemandu ini dan tugas kami hanyalah menjadi jawatankuasa penasihat untuk kerajaan negeri sahaja.

“Selepas itu, ia terus kekal untuk negeri yang dimenangi PAS dalam pilihan raya umum 1999 dan 2008. Tetapi apabila keadaan sudah stabil, kita tidak meneruskan peranan ini,” katanya.

Beliau menambah, mengaktifkan semula jawatankuasa berkenaan berikutan terdapat keperluan untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada pimpinan kerajaan negeri.

“Oleh itu tidak seharusnya salah faham tentang fungsi jawatankuasa pemandu,” katanya yang turut memaklumkan PAS akan mengadakan mesyuarat pada 12 Mac ini untuk membuat pelantikan anggota jawatankuasa pemandu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan