Lebih 50 Kilometer Pantai Di Kelantan Alami Hakisan

Diterbitkan: Isnin, 5 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Sepanjang 53.5 kilometer pantai di Kelantan dikenal pasti mengalami hakisan terutama ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata hakisan tiga pantai di sini iaitu di Pantai Cahaya Bulan, Kuala Pak Amat, Pantai Sabak serta Pantai Irama di Bachok dikategorikan sebagai kritikal.

"Pantai di Kelantan adalah sepanjang 75.5 kilometer dengan 53.5 kilometer daripadanya mengalami hakisan.

"Tiga kawasan pantai di Kota Baharu dan di Bachok adalah serius manakala pantai lainnya dikategori sebagai ketara dan boleh diterima," katanya ketika menjawab soalan Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria (PKR-Guchil) di persidangan Dewan Undangan Negeri, Isnin.

Md Anizam berkata Pantai Bisikan Bayu di Pasir Puteh dikategori sebagai ketara iaitu masih berlaku dan mengambil masa sehingga kira-kira 10 tahun lagi, jika tidak diatasi untuk mencapai peringkat kritikal.

Beliau berkata Pantai Mek Mah di sini pula dikategori sebagai tidak berbahaya selain ia tidak dimajukan sebagai pusat pelancongan seperti yang lain.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata sejak 2009 sehingga kini sebanyak 346 kes penderaan dilaporkan berlaku di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, 322 kes membabitkan penderaan terhadap wanita manakala 24 kes adalah penderaan terhadap kanak-kanak. Sebanyak 173 kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lannjut," katanya menjawab soalan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok).

Wan Ubaidah berkata penderaan yang membabitkan wanita terhadap wanita juga dilaporkan berlaku yang membabitkan madu, ibu tiri, ibu kandung dan keluarga sendiri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan