Kerajaan Tidak Tadbir Negara Secara Populis - PM

Diterbitkan: Ahad, 4 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) tidak mentadbir negara ini secara populis, sebaliknya meletakkan ekonomi pada landasan yang kukuh.

Beliau berkata ini menyebabkan Malaysia mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang tinggi, selain berupaya menambah hasil sehingga RM26 bilion menerusi kutipan cukai dan menyaksikan banyak syarikat terus berkembang menjadikan jumlah eksport mencecah RM1.3 trilion.

"Saya sebut perkara ini supaya tuan-tuan dan puan-puan faham bahawa negara kita di bawah BN berada dalam keadaan yang baik dan terjamin, dan dapat memacu perubahan yang besar pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Jamuan Makan Malam Perdana yang dihadiri lebih 20,000 orang di Padang Awam, Taman Ria Jaya malam Sabtu.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Nadzri Ismail dan Pengerusi Perhubungan BN Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata sebagai sebuah parti yang dekat di hati rakyat, setiap wakil rakyatnya perlu merasai denyut hati, mendengar keluhan serta rintihan mereka.

"Antara pemimpin dan rakyat, tidak perlu ada pemisah, dan sebagai wakil rakyat yang mewakili BN, kita perlu menjadi pihak yang mendahulukan rakyat sepanjang masa, dan perubahan yang hendak dilakukan itu mestilah berpunca daripada kesanggupan kita untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata dengan mandat yang diberikan, banyak pembaharuan yang telah dilakukan dari aspek pentadbiran, selain mengubah pendekatan bukan sahaja membangunkan negara dan menjana ekonomi, tetapi juga untuk kesejahteraan rakyat.

Najib berharap kehadiran begitu ramai orang malam ini menandakan rakyat Kedah sudah bersedia melakukan perubahan pada landskap politiknya.

"Saya rasa begitu terharu dengan kehadiran yang cukup hebat pada malam ini, saya cuba membuat telahan dan kesimpulan apakah ini satu petanda yang baik untuk BN, apakah ini satu petanda bahawa angin yang bertiup kencang di negeri Kedah menandakan kita sudah bersedia membuat perubahan," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, BN Kedah hanya memenangi 14 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memberi laluan kepada pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri.

Terdahulu, Najib memulakan lawatan kerjanya ke Kedah dengan mengunjungi rumah veteran Umno Datuk Zakaria Rauf di Kuala Ketil dan meluangkan kira-kira 20 minit di situ selepas tiba pada 3.30 petang.

Selepas itu, Perdana Menteri menyertai penduduk Baling dan kawasan sekitar dalam Program Mesra Rakyat 1Malaysia di Padang Awam Kuala Ketil.

Najib juga mengadakan perjumpaan tertutup dengan 120 wakil rakyat dari seluruh negara sempena program pemukiman Anggota DUN BN di Kelab Cinta Sayang. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan