Pusat Transformasi Luar Bandar Di Bandar Baru Tunjong

Diterbitkan: Sabtu, 3 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JELI: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan melakukan penambahbaikan kepada Terminal Agrobisnes Negara (Teman) di bandar baru Tunjong di Kota Baharu, sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pusat itu bukan sahaja menjadi lokasi pengumpulan hasil keluaran petani, nelayan dan penternak malah dilengkapkan dengan institusi perbankan, kemudahan untuk rakyat menjalankan perniagaan dan maklumat kepada rakyat yang mencari pekerjaan.

Di RTC ini juga, rakyat akan disediakan dengan pelbagai kursus yang berkaitan dengan perniagaan dan keusahawanan oleh kementerian ini melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara), katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kasihi Pekebun Peringkat Negeri Kelantan dan Gerakan Membaja, di Kampung Legeh dekat sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Shafie berkata RTC itu yang dilaksanakan secara bersepadu dengan kementerian lain yang berkaitan, seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, akan membantu meningkatkan pendapatan rakyat terutama golongan petani, penternak dan nelayan.

Mengenai Program Kasihi Pekebun, Shafie berkata program itu bagi mendekatkan lagi pekebun kecil dengan Risda dalam memajukan industri tanaman getah.

Beliau berkata kementerian melalui Risda memperuntukkan RM25 juta untuk membantu pekebun kecil di Kelantan menanam semula pokok getah mereka tahun ini.

Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Penyerahan Baucer "One Off" kepada bekas anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri Kelantan di kediaman Mustapa di sini, Shafie meminta bekas anggota Kemas terus berperanan menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata peranan mereka itu penting bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang jelas dan tepat mengenai dasar kerajaan agar tidak dipesongkan oleh pembangkang.

Pada majlis itu seramai 500 bekas anggota Kemas di negeri ini menerima RM3,000 setiap seorang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan