Perkasakan Wanita Luar Bandar Menerusi Perniagaan Asas Tani - Rosmah

Diterbitkan: Sabtu, 3 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri Malaysia, berkata perniagaan asas tani merupakan satu lagi platform di samping pendidikan untuk memperkasakan wanita luar bandar.

Beliau berkata perlu diperkembangkan lagi industri kampung yang menghasilkan produk makanan dan kraftangan menerusi galakan dan bantuan, di samping mewujudkan rangkaian bekalan menyeluruh dan efisien termasuk pemasaran produk berkualiti, yang akan memberi faedah kepada mereka dan membantu mereka mendapatkan harga sewajarnya.

Perlu juga menyediakan sumber kepada wanita luar bandar untuk mereka menjana pendapatan mampan yang akan meningkatkan simpanan mereka dan membolehkan mereka memulakan perniagaan sendiri, sekaligus membolehkan mereka berdikari daripada segi ekonomi, katanya semasa berucap pada majlis makan tengah hari sempena mesyuarat Suruhanjaya Mengenai Status Wanita (CSW) Pertubuhan Bangsa Bersatu di sini pada Jumaat.

Ucapan itu berdasarkan tema CSW tahun ini iaitu "Memperkasakan Wanita Luar Bandar dan Peranan Mereka Dalam Membasmi Kemiskinan dan Kebuluran: Pembangunan Dan Cabaran-cabaran Semasa", dan turut dihadiri Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dan Pengarah Eksekutif PBB Michelle Bachelet, yang juga Timbalan Setiausaha Agung PBB dan lebih 150 wakil daripada negara anggota dan agensi PBB.

Mempermudahkan akses kepada pinjaman bank dan pembiayaan makro juga mungkin boleh dilaksanakan menerusi usahasama awam-swasta, kata Rosmah dan menurutnya pada masa ini kemudahan itu dilihat disediakan oleh kerajaan.

"Saluran penyampaian inovatif dan rangkaian sosial dapat mengurangkan kos dan menjadikan perkhidmatan kewangan dipermudahkan kepada wanita luar bandar," katanya.

Beliau berkata untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan kewangan, wanita luar bandar perlu dilengkapi dengan pengetahuan yang betul dan mereka juga perlu diajar kemahiran menjalankan perniagaan, pemasaran, akaun asas dan cara melayan pelanggan.

Kerajaan dan sektor swasta perlu bersama-sama melabur dalam infrastruktur dan teknologi menjimatkan tenaga buruh dan meningkatkan produktiviti untuk meningkatkan penyertaan wanita di luar bandar, katanya.

Rosmah berkata separuh daripada lebih 3.4 bilion orang yang tinggal di kawasan luar bandar pada hari ini adalah terdiri daripada wanita, dan mereka juga merupakan 43 peratus daripada tenaga buruh pertanian di negara-negara membangun manakala di Timur dan Asia Tenggara dan sub-Sahara Afrika, hampir 50 peratus daripada tenaga kerja pertanian adalah wanita.

Walaupun pertanian merupakan satu daripada bentuk pemerkasaan ekonomi bagi wanita luar bandar ini, mereka sering bekerja sebagai pekerja keluarga tidak berbayar atau pembantu ladang dan malahan apabila berada dalam alam pekerjaan dengan dibayar upah, kebanyakan mereka adalah pekerja sambilan, bermusim atau dibayar gaji rendah, katanya.

Mengenai Malaysia, beliau berkata pengalaman negara telah membolehkannya mengambil langkah bukan sahaja dalam memperkasakan wanita di luar bandar tetapi juga membasmi kemiskinan.

"Walaupun kami telah berjaya meningkatkan kesejahteraan dan status wanita luar bandar, tugas kami masih jauh daripada selesai. Malahan, masih banyak yang perlu dilakukan. Mengukur kemiskinan daripada tahap pendapatan sahaja masih belum mencukupi," katanya.

Rosmah berkata skop kebajikan di Malaysia sedang diperluaskan daripada hanya berdasarkan ukuran pendapatan sahaja dengan turut dimasukkan aspek kesihatan, pendidikan, nutrisi dan kualiti hidup.

Selain itu, kekangan lain juga sedang dirungkai untuk mengoptimumkan sumbangan wanita terhadap sektor pertanian dan luar bandar, katanya.

Beliau berkata pada 2010, kerajaan Malaysia melancarkan Pelan Transformasi Kerajaan dengan satu daripada bidang tumpuan ialah meningkatkan taraf hidup isirumah berpendapatan rendah.

Kerajaan Malaysia menyasarkan 4,000 usahawan baru wanita termasuk dari kawasan luar bandar.

"Dalam memodenkan transformasi luar bandar, kerajaan telah menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), yang menyediakan kemudahan rangkaian hubungan antara pembangunan luar bandar dengan pertumbuhan bandar. Dengan kata lain, ia menyediakan akses pasaran kepada perniagaan luar bandar," katanya.

Katanya penduduk luar bandar, terutama mereka dalam industri pertanian, akan dapat meningkatkan peluang perniagaan mereka dan juga pendapatan mereka menerusi RTC yang diperkenalkan ini tanpa perlu lagi berdepan dengan masalah orang tengah sepertimana sebelum ini.

Oleh yang demikian, pemerkasaan ekonomi wanita luar bandar merupakan langkah penting bagi pembangunan sosial dalam mewujudkan masyarakat yang adil, seimbang dan saksama, katanya.

Rosmah berada di sini dalam rangka lawatan kerja empat hari sempena mesyuarat CSW. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan