Sesiapa Muslim Soleh Boleh Pimpin PAS – Nik Aziz

Diterbitkan: Khamis, 1 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang merupakan Muslim yang soleh boleh memimpin parti itu meskipun bukan berbangsa Melayu.

“Bangsa tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau pada Khamis.

Nik Aziz berkata, untuk apa berbangsa Melayu jika masih mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan kejahilan terhadap undang-undang Allah?

“Saya simpati dengan salah seorang bekas pemimpin negara yang rupanya masih meraba-raba...,” katanya lagi.

Nik Aziz bagaimanapun tidak memaklumkan nama “bekas pemimpin negara” itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu dilaporkan memandang sinis terhadap kesediaan PAS melantik pemimpin bukan Islam sebagai timbalan presiden parti itu.

“Dulu dia (PAS) kata kita kafir dan sekarang mereka pula mahu bekerjasama dan ketua parti dengan bukan Islam tetapi kita tidak kata pun mereka sedemikian.

“Kita tengok setakat mana... sepatutnya PAS melantik bukan Islam sebagai presiden... bukannya hanya terhad kepada jawatan timbalan presiden.

“PAS patut melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang, sebagai presiden parti itu," katanya dalam laporan media.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Anggota Majlis Tertinggi PAS, Dr Dzulkefly Ahmad mengenai PAS sedia menerima bukan Islam untuk menduduki jawatan tertinggi dalam parti itu, sehingga ke peringkat timbalan presiden sekiranya ada keperluan.

Dzulkefly yang berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengambil bahagian dalam forum bertajuk 'Mengapa Undi Melayu Pecah' di Kompleks Karangkraf di Shah Alam pada Selasa.

Anggota Parlimen Kuala Selangor itu percaya perkara berkenaan tidak mustahil memandangkan ia boleh menangani perubahan dalam pembaharuan intelektual dan tahan terhadap cabaran semasa.

"Mungkin belum ada keperluan untuk perkara ini sekarang, tetapi kalau sudah diutarakan, kami bersedia berbincang perkara ini dalam Muktamar PAS.

"Bagaimanapun, ini bergantung kepada keperluan parti," kata Dzulkefly.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan